Home Berita PAS Kelantan

Huffaz, modal insan masa depan

210
SHARE

KOTA BHARU, 24 Dis: Cita-cita Kerajaan Kelantan di bawah pentadbiran Membangun Bersama Islam ialah untuk melahirkan generasi al-Quran melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani ke arah melahirkan modal insan beriman dan bertakwa.

Demikian kenyataan Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob ketika merasmikan Majlis Graduasi Maahad Tahfiz ke-11 Tahun 2020 anjuran Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Hotel Grand Renai, semalam.

Program berlangsung secara hibrid menyaksikan 193 penghafaz al-Quran (huffaz) menerima sijil penghargaan. Pecahan jumlah tersebut ialah 55 pelajar Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, diikuti 45 dari Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong dan 38 dari Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman Kok Lanas. Disusuli 21 huffaz mewakili Maahad Tahfiz Al-Quran Banggol Chicha Pasir Mas, 12 pelajar SMU(A) Al Kauthar Peringat dan 11 mewakili SMU (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Tumpat. Manakala lima penuntut Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin, empat pelajar dari Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi Nipah, Bachok dan dua huffaz Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah Lil Banat, Beta Hulu, turut diraikan.

Dato’ Ahmad menyatakan berpaksikan wahyu Allah yang menjadikan falsafah pendidikan Kelantan berbeza dan istimewa berbanding dengan falsafah pendidikan di negara lain. Integrasi ilmu-ilmu ini menyebabkan pandangan ilmuwan Islam amat luas dan berkait rapat antara satu sama lain.

“Kekuatan inilah yang akan menyebabkan lahirnya modal insan berkualiti dan menjadi tonggak kemajuan ilmu dan pembinaan tamadun yang unggul pada masa akan datang”, tegasnya.
Beliau memetik hadis Rasulullah SAW riwayat Imam Malik yang bermaksud “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya” sebagai amanat kepada generasi huffaz selaku modal insan yang bakal menjadi pemimpin, pengurus, penggerak pembangunan dan seterusnya merealisasikan agenda dan wawasan negeri dan negara demi kesejahteraan ummah.

Sementara itu, Exco Pengajian Tinggi, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan rekod terkini sehingga tahun 2020, YIK berjaya melahirkan 4,275 huffaz sejak penubuhan maahad tahfiz al-Quran perintis di Pulai Chondong pada tahun 1992.