KOTA BHARU, 24 Dis: 1,000 sukarelawan daripada kakitangan agensi kerajaan, Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bertolak ke Pahang dan Selangor untuk menjalankan misi bantuan banjir.
Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menyempurnakan perlepasan misi tersebut pada Majlis Perlepasan Misi Pemulihan Bantuan Banjir Kelantan ke Pahang di perkarangan MABNA-MBI Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Dato’ Ahmad memaklumkan misi bantuan tersebut adalah tanda keprihatinan dan tanggungjawab Kelantan untuk membantu mereka yang ditimpa musibah.
“Misi ini juga sebagai tanda membalas jasa dan budi sahabat-sahabat kita daripada Selangor dan Pahang yang pernah datang membantu kita sewaktu Kelantan dilanda bah kuning tahun 2014.
Semoga dengan sumbangan ini akan dapat membantu meringankan beban kepada mereka yang dalam kesusahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya selalu peka dan prihatin terhadap maklumat daripada Jabatan Meteorologi sebagai langkah awal persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
Kepada sukarelawan, beliau turut mengingatkan supaya menjaga nama baik negeri Kelantan dengan menampilkan sikap berhemah dan terpuji.
Pada majlis yang sama, Dato’ Ahmad turut menyerahkan cek sumbangan kerajaan negeri RM200 ribu untuk Selangor dan Pahang kepada Ketua Delegasi yang juga Exco Kebajikan, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ( KPWKM), YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, Exco-exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Rakyat (ADR), Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ketua-ketua jabatan dan pimpinan NGO.