Home Berita PAS Johor

JAM Bakri bantu bersih kedai Ketua Kampung terbakar

319
SHARE

Oleh AMMAR FIRDAUS

BAKRI, 23 Disember : Jabatan Amal Malaysia (JAM) kawasan Bakri dengan kerjasama PAS cawangan telah membantu membersihkan sebuah kedai milik Ketua Kampung Jeram Tepi yang telah musnah akibat kebakaran baru-baru ini, semalam di sini.

Menurut pemilik kedai, Razali Muhammad berkata kejadian kebakaran yang berlaku di premis perniagaannya itu dipercayai akibat daripada berlakunya litar pintas.

Aktiviti gotong-royong pembersihan yang dilaksanakan oleh JAM Bakri telah bermula sekitar jam sembilan pagi di lokasi kejadian yang berhadapan dengan Masjid At-Taqwa, Kampung Jeram Masjid.

Razali juga melahirkan rasa kesyukuran atas musibah yang ditimpa ini kerana tidak melibatkan kematian jiwa atau kecederaan, serta berharap agar Allah SWT menggantikan apa yang musnah dengan sesuatu yang lebih baik.

Beliau turut menghargai dan berterima kasih kepada orang ramai dan semua yang sudi membantu meringankan beban beliau terutamanya kepada anggota petugas JAM Bakri atas usaha yang dilakukan.

Turut hadir, Pengerusi Pusat Aduan Rakyat Bakri, Azman Ibrahim, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan Bakri, Ammar Firdaus, Ketua Cawangan PAS Parit Zain, Salleh Mahmud dan juga seramai 13 orang petugas lain melibatkan ahli PAS cawangan, Ahli Pemuda dan masyarakat setempat.