Home Berita PAS Kelantan

Food Panda, Grab Food antara barisan hadapan era Pandemik Covid-19

175
SHARE

KOTA BHARU, 19 Dis: Permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan penghantaran makanan ketika negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas menjadi pilihan orang ramai bagi mendapatkan makanan serta barang keperluan dapur tanpa perlu keluar daripada rumah.

Susulan daripada itu, bagi menghargai jasa dan sumbangan para penghantar makanan dari Food Panda dan Grab Food, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) meneruskan program khidmat sosialnya dengan menyumbang sebanyak seratus bungkus makanan tengahari kepada para penghantar makanan di sekitar bandar Kota Bharu.

Menurut Ketua Unit Komunikasi Korporat AKSB, Nik Eda Salwanee Nik Sulaiman, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini merupakan aktiviti tahunan yang berterusan dijalankan oleh pihak Air Kelantan bagi menghargai jasa dan meringankan beban mereka.

“Sumbangan yang diberikan secara pandu lalu ini merupakan julung kali diadakan bagi menghargai jasa mereka yang terkesan khususnya sepanjang pandemik Covid-19. Saya berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa yang akan datang,” katanya ketika ditemui media.

Terdahulu, program CSR juga diteruskan dengan sumbangan barangan keperluan asas kepada lima puluh orang pengayuh beca dan dua orang pegawai keselamatan AKSB serta tiga orang pekerja kontrak pembersihan bagi meringankan bebanan di dalam suasana Pandemik Covid-19.