TEBRAU, 18 Dis – Program menyantuni dan penyerahan sumbangan kepada ibu tunggal anjuran bersama Kelab Kebajikan Anak Tebrau (KKAT), PAS Kawasan Tebrau dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Tebrau kali ini bergerak mengedarkan sumbangan kepada ibu tunggal sekitar Taman Cahaya Masai, hari ini.
Majlis dimulai dengan bacaan doa pembukaan oleh Setiausaha PAS Cawangan Cahaya Masai, Zuraidi Zahari dan ucapan aluan daripada Ketua Cawangan, Amir Abdan.
Seterusnya, majlis disusuli dengan tazkirah pengisian rohani dan motivasi oleh Ahli Jawatankuasa Kelab Kebajikan Anak Tebrau, Fatima HP Dulkarnain.
“Ujian yang diberi Allah adalah untuk kita akrab dengan DIA dengan sentiasa berzikir. Antara yang boleh diamalkan adalah Fatihah dan niatkan untuk Allah bantu urusan kita terutama dalam membesarkan anak-anak.” Antara pesanan Fatima dalam ucapan beliau.
Majlis kemudian diserikan lagi dengan alunan selawat dari para ibu tunggal dengan pimpinan Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Tebrau, Nor Fazielah Yaakub.
Kemuncak program, sumbangan telah diserahkan kepada 20 orang penerima dari kalangan ibu tunggal.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Muslimat PAS Kawasan Tebrau, Rohaiza Mohd Razali dan Ketua Muslimat Cawangan, Ainul Hakimah Karim.
Semoga bantuan ini dapat membantu meringankan beban mereka dan program ini dapat memberi satu motivasi kepada golongan ini dalam menempuh kehidupan sebagai ibu tunggal yang penuh cabaran.