Home Berita PAS Kelantan

MAFI, KPDNHEP pertingkat kerjasama stabilkan harga barang

145
SHARE

KOTA BHARU, 13 Dis: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempertingkatkan kerjasama mengembalikan harga normal barangan domestik dan industri susulan peningkatan kos keperluan sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menteri II MAFI, YB Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kerajaan sentiasa bertungkus-lumus memastikan harga barang stabil dan jika ada kenaikan sekali pun hanya pada kadar minimum.

“MAFI bersama KPDNHEP mengambil kata sepakat berusaha supaya kedudukan harga barang kembali stabil kerana KPDNHEP bertanggungjawab dalam menangani isu kenaikan harga barang yang terus menjadi perhatian rakyat terutama dalam suasana pandemik COVID-19. Selain fenomena global, antara faktor yang dikenalpasti ialah permasalahan berlaku pada rantaian pembekalan iaitu dari pembekal, penternak dan petani, pemborong serta peruncit, termasuklah masalah logistik”, katanya.

Beliau menjelaskan hal tersebut ketika menjadi panel bersama Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd Mazlina Kamarudin menerusi slot siaran langsung bertajuk Harga Barang Naik: Perancangan atau Kebetulan, di laman sosial.

Sementara itu, Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada persidangan parlimen lepas mengumumkan tiga langkah proaktif kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barang. Antaranya, lebih 1000 Pegawai Pemantau Harga (PPH) secara harian terus digerakkan bagi memantau harga selain memastikan pergerakan harga barangan berlaku pada situasi yang munasabah.