Home Berita PAS Johor

Pemantapan organisasi menjadikan parti berfungsi dengan baik

232
SHARE

Oleh : ABU HADIF

KULAI, 6 Nov : Perwakilan muktamar dari Johor yang ditemuramah selepas mendengar ucapan dasar Presiden PAS yang disiarkan secara dalam talian pagi tadi menyokong penuh ucapan dasar tersebut sambil menyifatkan ucapan dasar itu sebagai ucapan yang menarik dan dilihat memberi beberapa peringatan penting serta menggariskan tindakan yang perlu disusuli oleh ahli dan pimpinan parti pelbagai peringkat.

Perwakilan dari Kulai, Ahmad Thobrani Abu Bakar menyifatkan ucapan Tuan Guru Presiden amat bermanfaat untuk semua peringkat organisasi parti.

“Alhamdulillah saya menyokong penuh ucapan dasar yang disampaikan oleh Tuan Guru Presiden, satu ucapan yang cukup menyeluruh, walaupun ringkas tetapi padat dan sarat dengan panduan.

“Yang menarik perhatian saya ialah kepentingan memantapkan organisasi. Bila arahan yang jelas turun daripada peringkat pusat, maka akan memudahkan pengurusan di peringkat negeri, Kawasan dan cawangan.

“Elemen organisasi tersebut amat perlu untuk menguatkan parti, bagi memastikan organisasi parti berfungsi dengan baik di semua peringkat,” menurut beliau.

Beliau yang juga Setiausaha Kawasan Kulai merupakan perwakilan yang hadir bersama dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat peringkat negeri di Le Grandeur Palm Resort Senai, di sini pagi ini.