Home Berita PAS Perlis

Hanya Islam asas jayakan penyatuan ummah

59
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 6 Nov: Tiada asas lain yang mampu menjayakan agenda penyatuan ummah melainkan Islam, demikian kata perwakilan dari Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan.

Menurutnya, hal demikian telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW tatkala berusaha menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar sepertimana yang dirakamkan dalam sirah.

“Rasulullah SAW memulakan langkah perpaduan umat Islam yang menjadi tonggak bagi memimpin manusia dengan mengabungkan dua golongan yang beriman (Muhajirin dan Ansar).

“Mereka disatukan dengan perpaduan sesama Islam berteraskan prinsip persaudaraan iman, yang menghapuskan kebanggaan diri, fanatik perkauman dan kekeluargaan yang menjadi kebanggaan bagi bangsa Arab pada ketika itu,” ujarnya ketika sesi perbahasan Usul Terima Kasih dan Perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 yang berlangsung hari ini.

Justeru jelasnya, usaha menyatukan Umat Islam yang sedang diusahakan PAS pada ketika ini adalah sangat bertepatan dengan apa yang telah diperjuangkan oleh Baginda Nabi SAW.

“Perpaduan ummah inilah yang kita usahakan menerusi penubuhan Muafakat Nasional (PAS – UMNO) dan Perikatan Nasional (PAS – BERSATU).

“Matlamat kita ialah menjayakan agenda besar perpaduan ummah dalam kalangan mereka yang mempunyai persamaan konsep (berpegang dengan agama Allah dan jangan berpecah belah), bukan hanya terhad kepada parti tertentu atau kaum tertentu, dan jauh sekali semata–mata untuk kepentingan orang tertentu.

“Pada masa yang sama, kita juga menolak semua pihak yang menunjukkan tanda–tanda hendak merungkai asas penting daripada petunjuk Islam yang telah wujud dalam perlembagaan, sehingga mereka bermatlamat untuk meminggirkan Islam dan kepimpinan Islam,” katanya.