Oleh : AHMAD FARIS
SRI GADING, 5 Nov : Program Ceriakan Masyarakat India sempena Deepavali telah diadakan di Cawangan PAS Parit Besar Sri Gading berjaya menyantuni hampir 20 buah keluarga semalam.
Program anjuran NGO Sri Gading Sejahtera bersama Cawangan PAS Parit Besar ini merupakan acara tahunan.
“Kami akan usahakan bakul makanan kepada semua penduduk masyarakat India supaya mereka dapat rasakan kebersamaan” kata Ketua PAS Cawangan, Suhaimi Misman.
Program tersebut bukan hanya melibatkan penduduk Kampung Parit Besar sahaja tetapi meluas ke Kampung Parit Sidek, Parit Haji Ali dan Parit Haji Noor.
Turut hadir, Ketua Pemuda PAS Negeri Johor merangkap Penasihat NGO Sri Gading Sejahtera Ustaz Ahmad Nawfal Dato Mahfodz memeriahkan program tersebut.
“Kewujudan masyarakat India dan masyarakat lain membentuk masyarakat majmuk di Malaysia. Kerana itu Konsep Keluarga Malaysia adalah konsep terbaik memastikan keharmonian dan kesejahteraan Malaysia terus diamalkan” kata Ahmad Nawfal.
“Apabila kita dapat bahagiakan orang lain, kita akan dapat “double Happy”. Kerana itu kami sentiasa berusaha membantu siapa pun” kata Ketua Pemuda PAS Kawasan Sri Gading, Firdaus Mahdi merangkap Pengerusi NGO Sri Gading Sejahtera.
Program sehari bersama masyarakat India ini turut disertai Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS Kawasan, Aswad Mahmood, Timbalan Ketua PAS Cawangan, Kheir Shamsuddin dan rakan-rakan DHPP.