Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 2 Okt: Tiga buah pulau di Melaka iaitu Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka dicadang untuk diwartakan sebagai Taman Laut Negara yang terbaru di negara ini.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, di sekitar Pulau Undan, telah dikenalpasti terdapat 81 spesies karang keras.
“Dan lima daripadanya adalah spesis karang yang telah disenaraikan sebagai spesis yang terdedah kepada kepupusan.
“Dengan adanya taman laut itu nanti ia bakal menyumbang kepada peningkatan populasi hidupan marin di luar kawasan dan seterusnya menyumbang kepada stok perikanan negara,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, melalui usaha pewartaan ini, Jabatan Perikanan Malaysia berharap dapat memastikan kelestarian sumber perikanan dan biodiversiti marin di kawasan tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin itu berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook beliau sebentar tadi berhubung lawatan kerja beliau ke Pulau Undan hari ini.
Di dalam lawatan tersebut beliau turut diberikan taklimat oleh Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Mohd Fauzi Salehon, mengenai perancangan Taman Laut dan kepelbagaian biodiversiti marin di kawasan perairan Negeri Melaka.
Turut hadir di dalam lawatan kerja itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Ahmad Tarmidzi Ramly, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad.
Exco Pertanian Negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ghazale Muhamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad.
Kredit foto : Facebook Ahmad Hamzah
PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA
JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.
Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.
Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.
|