Home Berita PAS Kelantan

Berjuang angkat martabat wanita

131
SHARE

Oleh CHE MAZIAH MAT

KOTA BHARU, 20 Sept: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berharap semua pemimpin wanita sama ada pembangkang atau kerajaan di semua peringkat perlu memainkan peranan untuk mengangkat martabat wanita kerana sumbangan wanita itu sebenarnya sangat besar untuk memastikan keselesaan, kebahagiaan, keamanan rakyat dan pembangunan sebuah negara.

Setakat ini penjawat awam di kalangan wanita hanya mencapai 37.3 peratus dalam membuat keputusan. Di sektor swasta, kerjasama daripada majikan dan syarikat-syarikat mencapai 26.8 peratus sahaja berdasarkan bilangan ahli lembaga pengarah di serata syarikat yang tersenarai.

Begitu juga di Dewan Rakyat, ahli parlimen wanita hanya 33 daripada 220 orang mewakili 15 peratus. Manakala di Dewan Negara pula hanya 28 daripada 53 orang mewakili 15 peratus dan ini menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah berusaha mengadakan pelbagai program untuk mengasah bakat wanita seperti pemetaan suara wanita, konvesyen pemimpin wanita dan lain-lain lagi. Tahun ini sahaja dengan norma baharu, lebih kurang 800 program telah dilaksanakan yang melibatkan 441, 812 peserta.