Oleh SUHAIZI KADIR
BACHOK, 19 Sept: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed mengumumkan projek pembinaan Hospital Bachok disambung semula pada pertengahan Oktober ini.
Projek pembinaan yang menelan kos RM141 juta itu sepatutnya siap Disember tahun lalu, namun tergendala berikutan beberapa masalah membabitkan kontraktor.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menamatkan kontrak ini pada 29 Januari lalu dan semasa penamatan itu, kemajuan kerja adalah sebanyak 74.17 peratus berbanding jadual yang sepatutnya siap 100 peratus,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek pembinaan hospital itu, semalam.
Hadir bersama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Kelantan, Datuk Sr Azami Mohd Nor; Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Abdul Azziz Kadir dan Pengarah JKR Kelantan, Mohd Suhaili Ismail.