Bijak pandai ada menyebut, sekiranya ingin melihat masa depan sesebuah negara, hendaklah melihat generasi muda yang berada dalam negara tersebut. Golongan muda yang berpendidikan inilah yang akan mewarisi kepimpinan bukan sahaja di Kelantan, malah seluruh negara pada masa akan datang.
Pengalaman saya berada di menara gading sebagai mahasiswa dan pensyarah, kadang kala teori ilmu, pemikiran dan pandangan kita secara intelektual dan akademik tidak serasi dengan realiti sebenar. Pendedahan dan pengllibatan bersama masyarakat sangat perlu untuk melihat keserasian pelaksanaan idealisma dan kehendak kita.
Ilmu penting, teori penting, tetapi kefahaman realiti juga sangat penting.
BUATLAH YANG LEBIH BAIK DARIPADA KAMI
Kami sudah berusia, masa kami terhad. Yang akan meneruskan cita-cita murni Membangun Bersama Islam ini ialah anak-anak mahasiswa sekalian. Anak-anak muda mesti mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab di masa akan depan.
Di kalangan mahasiswa inilah, mereka yang akan menjadi Exco, Timbalan Menteri Besar dan Menteri Besar satu hari nanti, malah pimpinan negara di peringkat Persekutuan.
Ada segelintir anak muda yang marah, menyampah dengan pemimpin politik. Harapan saya, pesanan saya, anakanda sekalian, jadilah pemimpin yang lebih baik daripada kami. Kami mungkin ada kesilapan dan kelemahan, jangan ulangi kelemahan dan kesilapan ini.
Buatlah yang terbaik supaya negeri Kelantan ini menjadi Serambi Mekah yang sebenar. Boleh menjadi Baldatun Toyyibatun, Warabbul Ghafur.
KELANTAN MELAHIRKAN TOKOH-TOKOH NEGARA
Kita juga harus berbangga, kerana negeri Kelantan sentiasa menjadi tumpuan kepada masyarakat dan melahirkan tokoh-tokoh yang hebat. Bukan sahaja di kalangan ulama, tetapi dalam bidang sastera, budaya dan sebagainya. Inilah keistimewaan Kelantan.
Teruskan keistimewaan dan kehebatan Kelantan ini mengikut kemampuan masing-masing. Mungkin dua puluh tahun lagi, muncul tokoh ulama yang lebih hebat daripada Almarhum Tok Guru Nik Aziz, mungkin akan melahirkan pakar bahasa yang lebih hebat dari Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, mungkin akan lahir artis yang lebih hebat daripada Sabri Yunus dan Mustapa Kamal. Ikon-ikon yang menjadi tumpuan masyarakat.
RAHSIA KEHEBATAN KELANTAN
Orang Kelantan sejak dulu, Allah berikan asas agama yang baik walaupun dia bukan orang baik, bukan ulama, mungkin seorang samseng, tetapi asas pemahaman agamanya tinggi. Sebab itu orang gedebe di zaman dulu, sangat menghormati ulama. Tunduk pada ulama dan tok-tok guru pondok.
Inilah keunikan Kelantan. Bersyukur dan bertuahnya kita dilahirkan dan menjadi darah daging anak Kelantan. Kekalkan jatidiri Islam ini dalam pembangunan. Bergeraklah berasaskan ajaran Islam dalam, jaga batasan dan garis panduan dalam idealisma dan cita-cita tinggi kita.
KONGRES MAHASISWA KELANTAN 2021
Isnin yang lalu, saya telah menerima kunjungan hormat daripada anakanda Ahmad Aizat Zahier bin Zakaria, Pengarah Kongres Mahasiswa Kelantan 2021. Beliau menyerahkan Resolusi Kongres Mahasiswa Kelantan yang telah diadakan pada 28 dan 29 Ogos 2021.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada penganjur, peserta dan pemerhati di kalangan mahasiswa. Saya dimaklumkan lebih 2,000 kehadiran pada program yang besar ini. Terima kasih kerana menjemput saya dalam perasmian penutup tempoh hari.
Persiapkanlah diri. Jadilah aset Kelantan yang bernilai.
https://www.facebook.com/datonikamar
MOHD AMAR ABDULLAH | 11 SEPTEMBER 2021
Pondok Tok Ayah Kedah, Kelantan Darul Naim