Oleh CHE MAZIAH MAT
MACHANG, 8 Sept: Sudah menjadi kemestian bagi setiap wakil rakyat di Kelantan ini menjalankan amanah dan tanggungjawab membantu kebajikan rakyat khususnya dengan situasi semasa negara yang masih bergelut dengan pandemik COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemuning YB Mohd Roseli Ismail berkata, 27 ribu rakyat dalam DUN Kemuning yang harus diambil peduli serta dibantu yang majoritinya adalah masyarakat berbangsa Melayu, juga sebilangan kecil masyarakat Cina dan India.
Sementara itu, apabila ditanya soalan berkaitan bentuk kategori bantuan yang telah diterima rakyat, beliau menjawab bantuan sentiasa diberikan kepada rakyat bermula dari sejak lahir sehingga individu tersebut meninggal dunia. Ini termasuklah sumbangan anak-anak yang baru lahir, bantuan pesakit kronik, skim Az-Ziwaaj, ibu tunggal dan lain-lain.
Tambahnya lagi, bantuan kepada rakyat yang terbeban akibat pandemik COVID-19 serta kehilangan kerja juga turut dibantu. Selain itu, bantuan juga turut diberikan kepada peniaga- peniaga kecil khususnya mereka yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS).
Beliau berkata sedemikian ketika menjadi tetamu undangan melalui slot sorotan YB Buat Gapo yang dipengerusikan oleh Ustaz Fakhrulhayyi bersama Ustaz Shariff Al-Azhari di Facebook Live yang mendapat sambutan tontonan dari rakyat Machang dan anak Kelantan di perantauan, semalam.