Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 8 Sept: KDYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan rakyat segera mendaftar atau mendapatkan vaksin COVID-19 secara terus (walk-in) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri.
Titah tersebut dizahirkan agar perancangan 80 peratus imuniti kelompok dapat dicapai menjelang 30 September ini.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Dato’ Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, baginda juga menzahirkan dukacita kerana Kelantan antara negeri yang mempunyai peratus penerima vaksin terendah iaitu 50 peratus.
“Dengan kes positif di negeri Kelantan di paras empat angka, baginda menyarankan agar semua pihak menggembleng tenaga memperluas Program Outreach Vaksinasi di seluruh Kelantan, terutama sekali di kampung dan pedalaman supaya masyarakat yakin akan keberkesanan vaksin dan tidak bersangka buruk.
Baginda juga mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin berkenaan peruntukan 1.2 juta dos tambahan untuk Kelantan bagi membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin.
“Mengambil vaksin adalah tanggungjawab individu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Baginda turut merujuk kepada resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersetuju hukum penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia”, titahnya dalam satu kenyataan, semalam.
Baginda amat berharap rakyat Kelantan akan segera mendapatkan vaksin supaya Kelantan tidak tercicir dalam mencapai imuniti kelompok dan seluruh rakyat boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik, hospital tidak lagi terbeban dan rawatan untuk para pesakit lain tidak terjejas.
Di samping itu, baginda juga turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program vaksinasi di negara ini termasuk sukarelawan, dan amat menghargai jasa petugas kesihatan yang memikul amanah berat dalam merawat dan menyelamatkan pesakit COVID-19 sejak tahun lepas.