Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 8 Sept: Sebanyak 375 kes positif dan lapan kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut JKN Melaka lagi, daripada 375 kes positif baharu yang direkodkan itu, 350 kes adalah daripada kategori kes tempatan, tiga kes daripada kategori kes import B dan 22 kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.
Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 252 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 80 kes di Daerah Jasin dan 43 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Sebanyak 322 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 7322 kes masih dirawat dengan 72 kes adalah daripada kes ICU dan 25 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Lima punca utama jangkitan bagi 375 kes hari ini ialah, 76 kes melibatkan kluster kilang; 138 kes melibatkan kontak keluarga; 26 kes melibatkan institusi penjara; sementara 99 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.
Kes kematian
Daripada lapan kes kematian baharu direkodkan hari ini, tujuh kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah melibatkan tiga mangsa wanita berumur 49, 61 dan 90 tahun dan empat orang mangsa lelaki berumur 48, 51, 58 dan 78 tahun.
Sementara satu kes lagi direkodkan di Daerah Alor Gajah iaitu mangsa wanita berumur 82 tahun.
Laporan kluster
Satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Jalan PBR 12 yang merupakan kluster tempat kerja (kilang) melibatkan Daerah Melaka Tengah dengan 25 kes positif telah dikesan setakat hari ini.
Kes seluruh negara
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 16.3 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 20.8 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.
KKM juga melaporkan sebanyak 19,733 kes positif baharu, 361 kes kematian baharu dan 22,701 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 248,673 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,900,467 kes.
Hari ini Sarawak masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 3100 kes, diikuti oleh Selangor yang mencatatkan 2989 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.
PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari. Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV. Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi. |