Home Berita PAS Wilayah

Fenomena kepala air ubah landskap kaki Gunung Jerai

92
SHARE

Oleh TIA RAZALI

BATU, 8 September : Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh menganggap tragedi kepala air yang berlaku di Yan pada 18 Ogos lalu adalah antara bukti kekuasaan Allah SWT.

Beliau yang meninjau lokasi bencana bersama wakil Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) seminggu selepas kejadian turut berkongsi tentang perubahan landskap di kawasan sekitar ekoran dari kederasan air yang dibawa oleh kepala air tersebut.

Antaranya ialah sungai yang berada di bawah Jambatan Titi Hayun telah berubah menjadi daratan batuan.

Selain itu, terdapat juga sungai yang telah berubah laluan dengan kelebaran yang lebih kecil selepas peristiwa tersebut.

“Sebatang pokok manggis yang asalnya tinggi kelihatan rendang akibat dari timbunan tanah yang dibawa oleh kepala air dan menimbus kawasan sekitarnya.

“Terdapat juga batu-batu kecil seperti pasir pantai yang timbul di permukaan tanah selepas tragedi tersebut.

“Benarlah Allah SWT itu Maha Kuasa jika kita benar-benar menginsafi kejadian kepala air ini,” ujar beliau mengakhiri perkongsian dalam program Gelombang Munajat AKIFI bersama muslimat PAS Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Laporan tinjauan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mendapati taburan hujan ekstrem di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu menyebabkan berlakunya terjahan kepala air yang sekaligus mengakibatkan banjir dan merosakkan rumah-rumah penduduk kampung serta chalet yang berada di kaki gunung tersebut.

Senator Ustazah Nuridah turut menziarahi mangsa bencana untuk menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan harian dan sedikit bantuan kewangan bagi meringankan beban yang dirasai.

Beliau yang mewakili DMPM dan DMPWP juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan kewangan dan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir ini.

Hadir sama adalah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) DMPWP merangkap Timbalan Pengerusi LKK DMPM, Zurina Din dan Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Kedah.