Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 5 Sept: Para penerima Skim Bantuan Gerbang Az-Ziwaaj bertuah dipilih menyertai ‘Majlis Raikan Cinta’ peringkat Negeri Kelantan, semalam.
Program tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat melalui aplikasi Zoom.
Beliau menyatakan, program itu amat bermakna bagi Kerajaan Negeri Kelantan kerana dapat mengeratkan silaturahim dan meluangkan masa bersama pasangan pengantin baharu.
“Program ini juga menjadi platform peserta lebih mendekati pihak Kerajaan Negeri sekaligus secara tidak langsung membantu pihak kerajaan dalam menyalurkan maklumat-maklumat kepada umum”, katanya.
Program seliaan Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) Negeri Kelantan dengan kerjasama Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-Kekwa) Negeri Kelatan itu bermula pada 7 Ogos 2021 (Siri 1), 14 Ogos 2021 (Siri 2) dan 4 September 2021 (Siri 3), di lokasi masing-masing.
Antara pengisiannya, taklimat penggunaan buku Panduan Keluarga Mawaddah dan Santai Selogho yang mengupas ilmu berkaitan alam rumah tangga.
Sementara itu, Pengarah Urusetia Belia dan Sukan, Nasruddin Mahmud Muhaidin memaklumkan, skim bantuan kewangan RM1,000.00 bertujuan membantu pasangan muda yang terpilih untuk melangsungkan perkahwinan.
“Skim ini dikendalikan U-BeS sejak tahun 2011. Sehingga Mac 2021, RM23,768,000.00 telah dibelanjakan Kerajaan Negeri Kelantan kepada 23,768 pemohon yang layak dengan peruntukan tahunan berjumlah RM3 juta”, katanya.