Oleh CHE MAZIAH MAT
TUMPAT, 2 Sept: YAB Menteri Besar Kelantan Dato’ Ahmad Yakob menyuarakan keyakinan program vaksinasi di Kelantan akan mencapai sasaran imuniti berkelompok dalam masa yang terdekat dengan tambahan 1.2 juta dos sebagaimana pengumuman Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar, semalam.
Beliau berkata demikian ketika melawat lokasi Program Outreach Vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Kampung Laut Tumpat, hari ini.
Seramai 2340 penduduk sekitar Pasir Pekan menerima suntikan vaksin COVID-19 selama 4 hari bermula 29 hingga 2 September 2021.
Program tersebut diuruskan Pusat Khidmat DUN Pasir Pekan dengan Pejabat Kesihatan Daerah bersama Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.
“Kita berharap akan mencapai imuniti kelompok pada akhir September ini seperti jangkaan jika vaksin sampai awal serta proses pemberian vaksin mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Selain itu, kerjasama daripada sukarelawan yang sentiasa membantu, terutamanya dari pejabat Tindakan DUN, Jabatan Kesihatan Negeri dan Jajahan serta NGO akan mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada penduduk”, katanya.
Sehingga semalam, Kelantan telah menerima 36394 dos vaksin secara keseluruhan.