Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 4 Sept: Sebanyak 338 kes positif dan lima kes kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut JKN Melaka, daripada 338 kes positif baharu yang direkodkan hari ini, 335 kes adalah daripada kategori kes tempatan, tiada kes daripada kategori kes import A, dua kes daripada kes import B dan satu kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.
Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 222 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 75 kes di Daerah Jasin dan 41 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Sebanyak 595 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 7204 kes masih dirawat dengan 75 kes adalah daripada kes ICU dan 27 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Lima punca utama jangkitan bagi 338 kes hari ini ialah, 55 kes melibatkan kluster kilang; 138 kes melibatkan kontak keluarga; satu kes melibatkan institusi penjara; 17 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 95 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.
Kes kematian
Menurut JKN Melaka, daripada keseluruhan kes kematian hari ini, sebanyak empat kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah melibatkan tiga mangsa wanita berumur 43, 44 dan 50 tahun dan seorang mangsa lelaki berumur 63 tahun.
Sementara satu kes lagi direkodkan di Daerah Alor Gajah melibatkan mangsa lelaki berumur 67 tahun.
Laporan kluster
Tiada kluster baharu direkodkan hari ini.
Kes seluruh negara
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 15.6 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 20.3 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.
KKM juga melaporkan sebanyak 19,057 kes positif baharu, 362 kes kematian baharu dan 21,582 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 259,302 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,824,439 kes.
Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 3775 kes, diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 2723 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.
PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari. Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV. Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi. |