Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 29 Ogos: Sempena sambutan Hari Suri Mithali yang dirai pada Sabtu akhir Ogos satu Majlis Perasmiaan Skim Cakna Suri Peringkat Negeri Kelantan telah diadakan di Astaka MABNA, semalam.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, sebelum ini Kerajaan Kelantan meraikan para suri melalui kempen Sambutan Hari Suri Mithali, dengan pemberian bunga, hadiah dan anugerah tokoh.
Namun sempena Sambutan 30 tahun Membangun Bersama Islam, Skim Cakna Suri diperkenalkan. 6750 orang suri B40 menerima manfaat sekali beri (one off) RM100 pada tahun lepas dan diteruskan pada tahun 2021.
“Sebenarnya idea ini bermula dari pemerintahan mantan Menteri Besar, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Alhamdulillah skim ini disambut baik oleh Kerajaan Persekutuan dengan inisiatif Skim i-Suri”, tambah Dato’ Mumtaz sejurus majlis simbolik gimik perasmian oleh Datin Bentara Kanan Hajah Siti Zabidah Abd Hamid kepada 10 suri, mewakili yang lain.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Kelantan berharap skim ini mengiktiraf para suri rumah yang telah melahirkan anak-anak dan sumbangan pengorbanan mereka disanjung tinggi.
Tahniah wanita Kelantan kerana melahirkan ramai pelajar-pelajar hafiz, profesional, guru dan tokoh-tokoh yang memberi khidmat kepada Kelantan, Malaysia dan seluruh dunia.
Terdahulu, Dato’ Mumtaz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit berkongsi tentang Program Wanita Qurani yang menzahirkan gagasan Kerajaan Kelantan yang mahukan rakyat Kelantan dididik dengan cara rabbani. Maknanya para ibu perlu mendapatkan pendidikan melalui Al-Quran.
“Kerajaan Kelantan mewujudkan Keluarga Mawaddah Centre dan mengadakan Klinik Quran secara maya.
Insya Allah dalam masa terdekat akan diadakan kelas bahasa Arab”, jelasnya.
Turut hadir Timbalan EXCO merangkap ADUN Tanjong Mas, YB Rohani Ibrahim dan Pengarah U-Kekwa, Ilvira Mohd Dasuki.