Home Berita PAS Kelantan

Masjid dibuka selepas kes Covid-19 turun mendadak

53
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU, 30 Ogos: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin memaklumkan masjid di Kelantan akan dibuka kepada jemaah dalam tempoh dua minggu lagi sekiranya kes harian jangkitan COVID-19 turun mendadak.

Di samping itu, kadar vaksinasi di negeri ini mestilah meningkat dan mengikut ketetapan jadual serta fasiliti kesihatan termasuk bilangan pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) bertambah baik.

“Kita jangka jika jumlah vaksinasi meningkat dengan banyak dan Insya-Allah kita juga jangka kes akan turun dalam sehari dua ini.

Jika ini berlaku, kita akan buka masjid,” katanya ketika ditemui di Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di Sekolah Menengah Ugama (A) Istiqamah Badang, semalam.

Program empat hari tersebut bermula semalam bakal melibatkan 2,050 individu akan divaksinasi.

Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi dos pertama COVID-19.

Mengulas lanjut Dr Izani berkata, jika menepati segala ketetapan yang diperlukan, tiada sebab Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tidak benarkan masjid di negeri ini dibuka.

“Justeru, kita memohon rakyat di Kelantan supaya terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan graf kes COVID-19 di Kelantan cepat landai,” katanya.

#KelantanSasarImunitiKelompokSept2021