Oleh IBNU JANIE
BARU-BARU ini penulis ada menulis satu rencana berkaitan dengan seorang tokoh usahawan tempatan di Melaka iaitu Almarhum Azizan Hassan pemilik rangkaian kedai alat tulis dan fotostat Copycent Sdn Bhd sekitar Daerah Alor Gajah Melaka yang meninggal dunia pada 10 Ogos lepas akibat Covid-19.
Penulis bersahabat dengan Almarhum semenjak penulis aktif berniaga di pekan Masjid Tanah antara 2008 hingga 2013.
Dalam rencana yang lepas penulis ada mengungkapkan betapa Almarhum menyimpan segedung ilmu berkaitan perniagaan yang sangat berharga hasil daripada pengalamannya mengharungi susah payah membina perniagaannya.
Namun Almarhum bukanlah seorang sibuk ingin menjadi sifu dan memberikan tips-tips di media sosial. Jauh sekali untuk mempamerkan kekayaannya di media sosial agar popular seperti trend usahawan-usahawan zaman sekarang. Almarhum ‘low profile‘ sahaja.
Dalam rencana yang lepas juga penulis ada menyatakan bahawa alangkah bagusnya sekiranya anak-anak muda yang ingin menjalankan perniagaan dapat berguru dengan Almarhum. Namun sekarang tidak mungkin lagi kerana Almarhum sudah pergi meninggalkan kita.
Lalu penulis cuba mengingati apa-apa nasihat keusahawanan dan perniagaan yang Almarhum pernah beri kepada penulis dahulu untuk dipaparkan dalam tulisan ini.
Banyak juga yang sudah terlupa kerana sudah terlalu lama. Namun penulis cuba ingatkan. Semoga dengan penulis memanjangkan ilmunya ini akan sampai pahala jariahnya kepada Almarhum. Insya-Allah.
Antara yang penulis ingat Almarhum pernah berpesan bahawa sekiranya perniagaan kita berdepan dengan situasi tidak mampu membayar bil utiliti dan sewa pada masa yang ditetapkan, itu tandanya perniagaan kita bermasalah. Ia bukan satu perkara yang boleh dianggap normal.
Menurut Almarhum ramai peniaga yang berdepan dengan masalah seperti ini yang menganggap ianya biasa. Hakikatnya mereka yang berdepan situasi ini sebenarnya sedang menghadapi masalah aliran tunai yang mungkin disebabkan oleh jualan yang rendah atau berada dalam situasi kerugian tanpa mereka sedar.
Perniagaan yang menjana keuntungan dan mempunyai aliran tunai yang baik tidak mungkin berhadapan dengan masalah tidak mampu membayar bil utiliti dan sewa apabila sampai waktunya. Jadi usahawan yang sedang dalam situasi ini harus mengambil tindakan untuk mengatasinya.
Selain itu Allahyarham juga menasihatkan kami rakan-rakan usahawan agar menggunakan kemudahan kredit yang diberi pembekal dengan memastikan stok tersebut dapat dijual kepada pelanggan sebelum sampai tempoh kredit.
Contohnya, pembekal memberi kita kredit untuk membeli stok berjumlah RM10 ribu dan kita perlu membayarnya dalam tempoh tiga bulan. Jadi kita mesti memastikan stok tersebut habis dijual kepada pelanggan sebelum tamat tempoh tiga bulan itu yang memerlukan kita membuat pembayaran penuh kepada pembekal.
Jika seseorang usahawan itu berjaya melakukannya ia seolah-olah seperti kita berniaga tanpa modal. Untuk melakukannya pula usahawan perlu menjangkakan berapa kuantiti yang mereka mampu jual dalam tempoh kredit itu. Jangan tamak membeli stok yang banyak tetapi kita tidak mampu menjualnya dalam tempoh kredit.
Jika kita membeli secara kredit sebanyak RM10 ribu tetapi sampai tempoh pembayarannya kita hanya mampu menjual stok yang bernilai RM2 ribu sahaja, ini bermakna kita kena keluar duit sendiri sebanyak RM8 ribu untuk membayar hutang keseluruhan kredit itu. Ini sering menjadi punca peniaga kekurangan tunai.
Kebaikan perniagaan Sendirian Berhad
Almarhum juga menasihatkan agar usahawan-usahawan yang telah mencapai jualan yang tinggi dan berkemampuan agar menukar status kepada Sendirian Berhad (Sdn Bhd). Menurut beliau dengan status Sdn Bhd ia akan lebih diyakini samada oleh pembekal, institusi kewangan dan juga pelanggan.
Apabila sesuatu perniagaan itu lebih diyakini maka ia lebih mudah untuk mendapat peluang-peluang untuk memajukan lagi perniagaan mereka. Ia samada dalam bentuk peluang perniagaan atau peluang untuk mendapat pinjaman bagi membesarkan perniagaannya.
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 23 Ogos 2021
Mereka yang mempunyai status syarikat Sdn Bhd juga perlu membuat dokumentasi perniagaan yang teratur kerana ia diwajibkan undang-undang. Mereka perlu menyediakan akaun yang diaudit oleh syarikat audit dan perakaunan berdaftar. Dengan cara itu seseorang usahawan itu tahu status sebenar samada mereka untung atau rugi.
Menurut Almarhum ramai usahawan dengan perniagaan berstatus pemilikan tunggal yang tidak mempunyai rekod kewangan yang teratur. Ini menyebabkan mereka tidak dapat mengetahui status sebenar perniagaan mereka dengan tepat.
Malah lebih mengerikan sesetengah usahawan hanya tahu bahawa perniagaan mereka sebenarnya bermasalah pada masa masalah itu sudah berada pada tahap yang kritikal.
Selain itu menurut Almarhum, usahawan yang tidak mempunyai rekod kewangan yang teratur dan sempurna akan menghadapi kesukaran apabila ingin membuat pinjaman pada institusi kewangan.
Tanpa rekod kewangan yang sempurna institusi kewangan akan sukar untuk memberi pinjaman kerana mereka tidak dapat menilai dengan tepat kemampuan seseorang usahawan itu untuk membayar hutang sekiranya mereka diberi pinjaman itu.
Namun menurut Azizan status perniagaan Sdn Bhd tidak sesuai untuk perniagaan yang jualannya masih rendah kerana kos untuk menubuh dan menyelenggara perniagaan jenis ini lebih tinggi berbanding perniagaan pemilikan tunggal.
Sebenarnya ada banyak lagi tips dan panduan yang pernah penulis pelajari daripada Almarhum. Insya-Allah penulis akan dikongsikan lagi di lain kesempatan. Semoga ilmu ini dipanjang-panjangkan agar menjadi amal jariah buat Almarhum. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diampunkan. Amin. Al Fatihah.
Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS Pusat dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.
|