Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 589 kes positif baharu hari ini

101
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 27 Ogos: Sebanyak 589 kes positif baharu Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Kata laporan itu lagi, daripada 589 kes positif baharu itu, 555 kes adalah daripada kategori kes tempatan, dua kes daripada kategori kes import B, tiada kes bagi kes import A dan 32 kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 369 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 98 kes di Daerah Jasin dan 122 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 450 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 8499 kes masih dirawat dengan 81 kes adalah daripada kes ICU dan 25 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 589 kes hari ini ialah, 64 kes melibatkan kluster kilang; 170 kes melibatkan kontak keluarga; 32 kes melibatkan institusi penjara; 23 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 247 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes kematian

Menurut JKN Melaka, sebanyak enam kes kematian baharu direkodkan hari ini, di mana empat kes dikesan di Daerah Melaka Tengah sementara dua kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada seorang wanita dan lima lelaki yang berusia antara 39 dan 78 tahun.

Laporan kluster

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 18.9 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 14.1 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 22,070 kes positif baharu, 339 kes kematian baharu dan 21,877 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 265,695 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,662,913 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 5920 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 3010 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.