Oleh CHE MAZIAH MAT
KOTA BHARU, 25 Ogos: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 ribu, kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat dengan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi kegunaan rakyat yang terkesan akibat COVID-19.
“Kerajaan Negeri sentiasa membuat perbelanjaan mengikut kemampuan dan jumlah kewangan yang ada.
Dalam hal ini, kerajaan tidak keberatan memberi peruntukan RM20 ribu kepada setiap DUN di kawasan yang terlibat dengan PKPD, melalui ADUN masing-masing.
Kerajaan tidak pernah menyimpan duit sehingga dimurkai oleh Allah SWT, sebaliknya akan menggunakannya bagi kemudahan rakyat ”, katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, semalam.
Jelasnya lagi, kepentingan rakyat, faktor kedudukan serta aliran wang harus juga diambil kira dari pelbagai aspek. Untuk rekod, kerajaan Kelantan telah menerima peruntukan khas RM400 juta untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Kelantan.
#LiputanSidangDUN2021