Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 22 Ogos: Konten video pendek aktiviti keluarga di ladang ternakan kambing berjaya menjuarai pertandingan video pendek, Lockdown Living MCO 3.0 Bertani Satu Ibadah anjuran Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB).
Video berdurasi 2.53 minit tersebut kiriman pengurusnya, Fasha Rashada Saari, 27, menggambarkan kebersamaan keluarga penternak di pelbagai peringkat usia untuk memanfaatkan masa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam suasana ceria melayan ternakan kambing mereka di Az Farm, Lot 1997 Kampung Belukar, Machang Kelantan.
“Walaupun ketika pandemik ini banyak menyekat aktiviti masyarakat di luar, tetapi PKP memberi manfaat kepada keluarga kami untuk mengeratkan lagi kasih sayang antara keluarga dan alam sekitar.
Terima kasih kepada Kerajaan Kelantan dan KPKB atas penganjuran pertandingan video yang berfaedah tentang aktiviti penternakan semasa PKP 3.0 bersama keluarga.
Terima kasih juri kerana memilih video saya dengan 95 peratus markah daripada 81 video lain”, katanya ketika dihubungi.
Keputusan pertandingan diumumkan oleh Exco Pertanian Kelantan, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail di pejabatnya, hari ini.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang sekali gus melancarkan saluran Youtube Xplorasi Tani milik KPKB.
Saluran tersebut menonjolkan persembahan berdasarkan aktiviti Usahawan tani yang berdaya maju atau mengusahakan aktiviti pertanian secara sederhana santai atau hobi sekeluarga.
Fasha menerima seekor kambing dan sijil penyertaan, Munirah Embong selaku naib juara dengan markah 92 peratus dihadiahkan seekor biri-biri dan sijil penyertaan.
Manakala Mohd Adnan Mamat selesa di tempat ketiga dengan markah 90 peratus memperolehi RM300 dan sijil penyertaan.
Majlis tersebut boleh ditonton melalui pautan https://www.facebook.com/kpkbagriculturecompany/videos/829355881097589/