Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 579 kes positif, 7 kematian baharu

110
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 18 Ogos: Sebanyak 579 kes positif dan tujuh kes kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada 579 kes positif baharu itu, 573 kes adalah daripada kategori kes tempatan, empat kes daripada kategori kes import B dan dua kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.

Kata laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 387 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 68 kes di Daerah Jasin dan 124 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 653 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 7466 kes masih dirawat dengan 93 kes adalah daripada kes ICU dan 33 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 579 kes hari ini ialah, 85 kes melibatkan kluster kilang; 239 kes melibatkan kontak keluarga; dua kes melibatkan institusi penjara; 32 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 171 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kematian

Menurut JKN Melaka, daripada tujuh kes kematian baharu yang direkodkan hari ini, enam kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, manakala satu kes lagi di Daerah Alor Gajah.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada lima wanita dan dua lelaki yang berusia antara 29 dan 72 tahun.

Laporan kluster

Satu kluster baharu dikesan hari ini iaitu Kluster Industri Lot-14 Batu Berendam yang merupakan kluster tempat kerja melibatkan sebuah kilang di Batu Berendam, Daerah Melaka Tengah.

Sehingga hari ini sebanyak 31 kes positif direkodkan sementara punca jangkitan adalah secara sporadik yang kemudiannya merebak kepada keluarga dan rakan kerja.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 17.4 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 11.4 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 22,242 kes positif baharu, 225 kes kematian baharu dan 19,680 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 254,484 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,466,512 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6858 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 2413 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.