Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 17 Ogos: Sebanyak 19 kes kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut JKN Melaka, daripada 19 kes kematian itu, 12 kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah, enam kes di Daerah Alor Gajah dan satu kes di Daerah Jasin.
Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada 15 wanita dan empat lelaki yang berusia antara 31 dan 82 tahun.
Laporan kes positif
JKN Melaka turut melaporkan sebanyak 623 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 615 kes adalah daripada kategori kes tempatan, lapan kes daripada kategori kes import B dan tiada kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.
Kata laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 416 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 49 kes di Daerah Jasin dan 158 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Sebanyak 504 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 7566 kes masih dirawat dengan 90 kes adalah daripada kes ICU dan 38 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Lima punca utama jangkitan bagi 623 kes hari ini ialah, 126 kes melibatkan kluster kilang; 209 kes melibatkan kontak keluarga; tiada kes melibatkan institusi penjara; 45 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 152 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.
Laporan kluster
Satu kluster baharu dikesan hari ini iaitu Kluster Bukit Payung yang melibatkan sebuah komuniti di Taboh Naning, Alor Gajah.
Sebanyak 39 kes positif direkodkan setakat ini dengan punca jangkitan dikenalpasti dari komuniti dan telah merebak dalam kalangan ahli keluarga dan kawasan kejiranan.
Kes seluruh negara
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 17.3 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 11.7 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.
KKM juga melaporkan sebanyak 19,631 kes positif baharu, 293 kes kematian baharu dan 16,468 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 252,147 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,444,270 kes.
Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 5753 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 2103 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.
|