Home Berita PAS Kelantan

Sambutan Hijratul Rasul tahun 1443H secara digital

154
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU, 10 Ogos: Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan yang menjadi acara tahunan rasmi Kerajaan Negeri Kelantan kali ini dilaksanakan secara digital.

Program tersebut disiarkan secara langsung melalui Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), pada pukul 7.20 malam, semalam.

Majlis bermula dengan ucapan perasmian oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob.

Beliau berkata sambutan awal tahun hijrah adalah permulaan keazaman kita untuk membuat perubahan kepada yang lebih baik serta sentiasa bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT untuk mencari reda-Nya dalam apa sahaja yang kita lakukan.

“Peristiwa hijrah juga mengajar kita supaya bersabar dalam apa jua cabaran di samping sentiasa berusaha untuk berikhtiar dan bertawakal kepada Allah SWT.

Begitu juga, kesabaran kita menghadapi cabaran pandemik COVID19 perlu diambil iktibar oleh umat Islam untuk memperkukuh hubungan silaturahim dan saling bantu-membantu sesama kita.

Sebagai hamba Allah SWT, kita juga hendaklah sentiasa berusaha mempertingkatkan amal ibadah agar menjadi hamba yang dikasihi dan diredai”, katanya.

Beliau turut mengingatkan peristiwa hijrah menyaksikan kesungguhan Rasulullah SAW mengeratkan ikatan persaudaraan antara Muhajirin dari Mekah dan Ansar di Madinah.

Tambahnya, hubungan yang dibina atas asas Islam dan taqwa ini akhirnya berjaya membentuk kesatuan fikrah dan kerjasama dalam kalangan penduduk Madinah.

Seterusnya beliau berseru rakyat berdoa semoga segala amalan diterima oleh Allah SWT dan dapat memartabatkan syiar Islam serta membangunkan negara dengan petunjuk dan rahmat daripada Allah SWT.

Sebelum itu, majlis bacaan doa sempena akhir tahun 1442H dan awal tahun 1443H dipimpin oleh Sahibul Samahah Mufti Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamad.