Home Berita PAS Kelantan

Atlet Paralimpik Dunia terharu disantuni Exco Sukan Negeri

109
SHARE

Oleh Suhaizi Kadir

KUALA KRAI, 9 Ogos: Tiga atlet paralimpik kelahiran Kelantan yang berjaya menyertai kejohanan sukan bertaraf dunia melahirkan perasaan terharu dan berterima kasih kepada Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat yang menziarahi mereka di rumah masing-masing di sini, semalam.

Bekas atlet renang dunia, Abdullah Mohd Daud, pernah mengharumkan Malaysia dengan rangkulan tiga pingat emas dan sebutir pingat perak di kejohanan KL ASEAN Paragames di Hanoi, Vietnam 2001.

Kemudian beliau beraksi di 2nd Paragames Hanoi, Vietnam 2003 dengan pencapaian rekod baharu kejohanan dan meraih tiga emas serta di World Invitation, New Zealand 2003 dengan dua perak dan satu gangsa.

“Alhamdulilah rezeki menyebelahi saya pada tahun 2004 dalam kejohanan Asia Invitation 2004, saya berjaya merangkul dua kilauan emas diikuti Asian Paragames Korat, Thailand 2007 dengan catatan rekod baharu bersama tiga pingat emas”, katanya mengimbau saat kegemilangannya ketika ditemui di Taman Warisan Bukit Sireh.

Manakala mantan atlet olahraga Asia, Muhammad Helmy Deris pula hampir menitiskan air mata menerima kunjungan pimpinan negeri dan agensi ke rumahnya di Kampung Rahmat, Padang 9, Pahi.

Pencapaian beliau meraih pingat perak dalam acara 100 meter di Busan Korea pada tahun 2002 dan di Asean Para Games Hanoi 2003 pula dengan pingat gangsa dalam kategori 100 meter, 200 meter dan lompat jauh, turut meletakkan Malaysia di mata dunia.

Sementara itu, bekas atlet acara powerlifting Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, Sakhawi Mat Sudin juga bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan YB Wan Roslan bersama pegawai JBS yang mengambil berat tentang bekas atlet paralimpik.

“Syukur dan terima kasih kerana mantan atlet seperti kami masih diingati. Dalam suasana pergerakan yang terhad pun Exco Sukan dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Laila Nazura Nawi
sanggup ziarahi kami dan hulurkan bantuan”, katanya yang menetap di Kampung Air Chanal, Sungai Sok.