Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
WAKAF BAHRU, 3 Ogos: Pusat Khidmat Masyarakat Wakaf Bahru dengan kerjasama Koperasi Pembangunan Wakaf Bahru Berhad membekalkan sayur-sayuran dan buah-buahan percuma kepada orang ramai melalui Program Gerobok Magnet Rezeki.
Berslogankan “Ambil Apabila Perlu, Memberi Sekadar Mampu” masyarakat sekitar Wakaf Bahru lebih mudah untuk mengambil keperluan mereka pada setiap hari bekerja bermula pukul 2.00 petang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bahru, YB Mohd Rusli Abdullah berkata demikan ketika ditemui hari ini, di Perkarangan Wisma Purnama PKMD Wakaf Bahru.
“Kita amat berterima kasih kepada para peniaga dan petani yang turut menyumbang bekalan yang turut menyokong usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Bagi merialisasikan usaha tersebut, pelbagai usaha dan cara dilakukan oleh pimpinan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Orang ramai yang kebetulan lalu di Wisma Purnama boleh singgah ambil secara percuma sekadar yang perlu”, katanya.