Home Berita PAS Kelantan

Ekosistem pesisir laut Kelantan terus dipulihara

223
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

TUMPAT, 30 Jul: Kepentingan menyeimbangkan kesejahteraan ekologi dalam pengurusan perikanan amat dititikberatkan bagi mengekalkan ekosistem di pesisir laut Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan hal demikian selepas aktiviti menanam anak pokok bakau dan melepaskan benih ikan di kawasan Pulau Suri, semalam.

Aktiviti bersama staf Jabatan Perikanan Negeri Kelantan tersebut melibatkan penanaman sebanyak 200 batang pokok bakau spesies Minyak (Rhizophora apiculata).

Di samping itu, 60,000 benih udang galah serta 10,000 benih ikan siakap juga berjaya dilepaskan ke perairan umum di kawasan kepulauan Tumpat bersempena sesi konsultasi Pengurusan Perikanan Melalui Ekosistem (EAFM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu juga berkata, EAFM meliputi program pemuliharaan habitat, sumber daya perikanan, ekonomi dan sosial masyarakat bagi memupuk pemahaman dan kesedaran awam berkenaan sumber perikanan dan ekosistem sekitarnya.

“Bakau ditanam supaya akarnya berselirat serta timbul untuk menjadi habitat kepada ikan, siput, ketam nipah, udang, kerang, lokan serta dapat mencegah hakisan tanah dan penampan angin kencang.

Di samping itu, pokok bakau juga dapat mengurangkan pencemaran udara dan menjana sumber eko-pelancongan kepada komuniti tempatan”, katanya.