Oleh IBNU JANIE
PENULIS difahamkan bahawa pada waktu ini kebanyakan Institut Pengajian Tìnggi (IPT) samada awam atau swasta telah pun mengeluarkan tawaran kepada pelajar-pelajar yang memohon untuk melanjutkan pengajian di institut-institut mereka.
Selepas keputusan SPM diumumkan pada 10 Jun lepas pelajar-pelajar telah mula memohon untuk menyambung pengajian di institut-institut pilihan mereka.
Beberapa minggu lepas juga, penulis ada menulis sebuah rencana berjudul ‘Keputusan SPM: Jangan bersedih, terobos potensi 9 kecerdikan’ yang berkisar tentang Teori Pelbagai Kecerdikan yang diasaskan oleh Dr Howard Gardner.
Dalam rencana itu penulis menerangkan bahawa menurut teori Gardner manusia sebenarnya ada sembilan potensi kecerdikan yang merangkumi pelbagai aspek dan bidang yang selama ini secara konvensional tidak pernah diiktiraf sebagai kecerdikan.
Sembilan kecerdikan menurut Gardner ialah pertama kecerdikan visual dan ruang; kedua kecerdikan kinestetik tubuh; ketiga kecerdikan muzikal; keempat kecerdikan liguistik atau bijak kata-kata;
Kelima kecerdikan matematik dan logik; keenam kecerdikan interpersonal; ketujuh, kecerdikan intrapersonal; kelapan, kecerdikan naturalistik; dan kesembilan, kecerdikan existential dan spiritual.
Maknanya di dalam teori ini ada banyak kebolehan yang dimiliki oleh manusia yang selama ini hanya diiktiraf sebagai kemahiran dan kebolehan semata-mata kini diiktiraf oleh teori Gardner ini sebagai salah satu kecerdikan.
Contohnya, ada seorang yang gagal dalam perperiksaan SPM namun dia boleh melukis dengan baik. Dalam pengiktirafan konvensional sudah tentu dia tidak termasuk dalam golongan yang boleh dipanggil sebagai cerdik pandai. Namun dalam teori Gardner ini, pelukis tadi diiktiraf sebagai seorang yang cerdik dengan memiliki ‘kecerdikan visual dan ruang’.
Apabila sistem pengiktirafan konvensional yang hanya mengiktiraf pencapaian akademik sahaja sebagai memenuhi status ‘cerdik pandai’, ini telah menyebabkan wujudnya golongan pelajar yang tersalah memilih bidang kerana semata-mata mahu dirinya termasuk dalam golongan cerdik pandai tadi.
Penulis melihat hasil daripada pegangan masyarakat kita sekian lama bahawa kejayaan dalam bidang akademik sebagai satu-satunya lambang kecerdikan telah mewujudkan golongan pelajar yang memaksa diri mereka untuk memohon kursus-kursus yang sebenarnya mereka tidak mampu semata-mata kerana status.
Semasa penulis menjadi pensyarah di sebuah kolej milik sebuah agensi kerajaan dahulu penulis berjumpa dengan ramai pelajar-pelajar yang masuk ke kolej semata-mata kerana mahu dapat diploma. Apa-apa bidang pun asalkan dapat diploma.
Apa yang membimbangkan ialah sesetengah pelajar ini sebenarnya tidak mampu untuk menguasai bidang yang mereka pelajari itu.
Lebih merugikan lagi sekiranya mereka sebenarnya mempunyai satu kelebihan dalam bidang lain. Namun mereka ketepikan kelebihan itu hanya kerana mahu pengiktirafan konvensional dengan mengambil diploma dalam bidang akademik.
Sebagai contoh, mungkin mereka sebenarnya mempunyai kemahiran memasak namun mereka tidak mahu mengambil bidang kulinari atau hotel dan katering kerana menganggap menjadi seorang pegawai bank lebih tinggi statusnya daripada menjadi ‘tukang masak’.
Begitu juga dengan kelebihan-kelebihan lain, contohnya dalam bidang sukan, nyanyian, menjahit dan kemampuan melukis yang telah penulis nyatakan tadi.
Maknanya jika seseorang pelajar yang sebenarnya minat dan berkebolehan memasak tetapi memohon untuk mengambil jurusan perakaunan semata-mata kerana menganggap kursus memasak berstatus rendah, mungkin dia akan berakhir sebagai seorang eksekutif biasa di sebuah syarikat di masa depan.
Namun jika dia mempelajari bidang kulinari dan masakan mungkin akhirnya dia menjadi chef yang terkenal dan menjadi kaya raya serta memiliki restoren mewah sendiri. Ini adalah kerana gandingan antara kemampuan dan minat yang tinggi yang ada pada seseorang individu itu.
Perbezaan status sesama bidang akademik
Selain daripada terdapat perbezaan status antara golongan akademik dan golongan kemahiran yang tidak diiktiraf sebagai cerdik, terdapat juga perbezaan kasta dan status dalam kalangan orang berpendidikan alur akademik ini.
Semasa penulis belajar di matrikulasi dahulu, kami boleh memilih untuk menyambung ke peringkat ijazah samada dalam bidang Pengurusan Perniagaan, Perakaunan atau Teknologi Maklumat.
Namun untuk mengambil jurusan Perakaunan atau Teknologi Maklumat memerlukan CGPA yang tinggi. Tetapi untuk ijazah Pengurusan Perniagaan hanya perlu lulus sahaja. Dalam erti kata lain mereka yang tidak layak mengambil ijazah Perakaunan atau Teknologi Maklumat semunya akan tercampak ke Ijàzah Pengurusan Perniagaan.
Sungguh pun ada ramai juga pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang yang memilih untuk mengambil ijazah Pengurusan Perniagaan namun ia tetap membawa status yang rendah dalam kalangan kami.
Akibatnya juga ada antara pelajar-pelajar yang berada pada syarat kelayakan paling minimum namun tetap mencuba nasib memohon untuk mengambil kursus Ijazah Perakaunan atau Teknologi Maklumat agar mereka mendapat status yang tinggi dalam kalangan pelajar-pelajar.
Keadaan ini menimbulkan satu keadaan yang kurang sihat kerana ini mungkin menyebabkan golongan ini akhirnya hilang segala-galanya apabila mereka terkandas di tengah jalan kerana tidak mampu menguasainya.
Apa yang penting bagi penulis masyarakat perlu mengubah persepsi mereka terhadap definisi kecerdikan yang dipegang selama ini. Amat penting untuk kita mengubahnya agar kita tidak membazirkan potensi-potensi yang ada pada kanak-kanak dan remaja.
Pelajar-pelajar yang bakal menyambung pengajian ini kebanyakannya akan dipengaruhi oleh orang sekeliling mereka terutama ahli keluarga. Jika orang sekeliling mereka memegang persepsi yang salah terhadap nilai ‘kecerdikan’ maka ia akan mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh pelajar-pelajar ini.
Kita mungkin kehilangan pelukis, pereka fesyen, tukang jahit, penulis lirik, novelis, chef yang hebat pada masa akan datang semata-mata kerana mereka meninggalkan kebolehan yang mereka ada sekarang semata-mata kerana mahu digolongkan sebagai ‘bijak pandai’ namun akhirnya tersungkur dan hilang segala-galanya.
Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita dan WARM Jabatan Penerangan PAS Melaka.
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak 30 Julai 2021 |
|