Home Berita PAS Melaka

Ketua Menteri pesan mahasiswa ke Al-Azhar, jaga nama baik Melaka

160
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 30 Jul: “Pakcik harap anda semua dapat menjaga diri dan nama baik Melaka sepanjang berada di perantauan dengan belajar bersungguh-sungguh.”

Demikian dinyatakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama (Dr) Sulaiman Md Ali dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya pagi tadi yang ditujukan kepada sembilan orang pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran di Universiti Al Azhar Mesir pada 6 Ogos depan.

Terdahulu beliau telah menyampaikan sumbangan dalam bentuk cek daripada Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kepada tujuh daripada sembilan orang penerima yang bernilai RM2,500 setiap seorang kepada bakal mahasiswa ini yang akan melanjutkan pengajian dalam jurusan Pengajian Islam dan Usuluddin.

Menurut Ketua Menteri Melaka itu lagi, beliau juga dimaklumkan bahawa pelajar-pelajar ini akan tinggal di Seri Melaka di Mesir.

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya buat sembilan orang pelajar yang menerima sumbangan ini iaitu Mawaddah Mohd Puad; Mohammad Amirul Mohammad Fendi; Muhammad Afiq Mohd Esa; Muhammad Nor Irfan Rashid; Muhammad Harits Josly; Nuraqila Mohd Saharudin; Muhammad Nasrul Afiq Haridan; Siti Aminah Ismail dan Muhammad Abi Rafdi Azmee.

“Apa yang baik di tempat orang boleh dibawa balik ke Melaka nanti,” ujar beliau lagi.

Hadir sama dalam majlis ringkas yang berlangsung di Pejabat Ketua Menteri Melaka itu ialah Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md Rawi Mahmud dan Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim.

Kredit foto : Facebook Sulaiman Md Ali