Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 13/1438H

838
SHARE

Tazkirah Ramadhan Siri 13/1438H

Tadabbur Al Quran Juzu 13: Surah Ibrahim: Ayat 24 – 27

 

Terjemahannya:

Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (ayat 24)

(pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. (ayat 25)

Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun. (ayat26)

Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki.(ayat 27)

 

Tafsir ringkas:

1. Allah SWT menggesa kita agar berfikir tentang pengertian yang sebenar  makna kebenaran dan kebatilan. Dalam menjelaskan makna kedua-dua ini Allah mendatangkan dalam bentuk perumpamaan iaitu:i. Kebenaran dan keimanan itu ibarat pohon yang baik, akarnya teguh membenam ke bumi dan dahannya rimbun menjulang ke langit. Kebenaran yang tertinggi  adalah kalimah tayyibah yang tersimpul dalam kalimah tauhid iaitu kalimat yang membezakan antara seorang mukmin dan orang kafir, kalimat yang membawa  kita ke syurga.ii. Kebatilan dan kemusyrikan pula ibarat  seperti pohon yang buruk, akarnya lapuk hingga tercabut dari tanah dan  sentiasa goyah. Kebatilan itu tersimpul pada kalimat-kalimat yang buruk iaitu ucapan-ucapan yang mengandungi kekafiran dan kemusyrikan atau yang mengajak kepada perbuatan maksiat.

2. Dengan melaksanakan tuntutan kalimah tayyibah ini  Allah akan meneguhkan jiwa orang-orang mukmin dalam menjalani kehidupan di dunia dengan tenang yang membawa kepada kesejahteraan hidup di akhirat. Ini menunjukkan ada hubungan rapat antara iman dan kata-kata yang baik. Iman mendorong seseorang untuk sentiasa menggunakan kata-kata yang baik malah kata-kata yang baik itu dapat memelihara keteguhan iman seseorang.

 

Pengajaran:

1. Membandingkan antara hak dan batil melalui perumpamaan adalah salah satu metode pendidikan dan pengajaran yang berkesan bagi manusia.

2. Kita wajib menjaga keimanan anugerah Allah SWT. Jangan sekali-kali menjual aqidah ini dengan dunia dan seisinya, apalagi hanya dengan sebungkus maggi segera atau sehelai kain pelikat, mahupun dengan beberapa lembar wang ratusan ringgit.

3. Orang beriman hidupnya tidak akan pernah goyah, stress dan bingung dengan ujian yang mendatang. Sebaliknya, hidupnya penuh optimis, semangat dan energetik, kerana ia yakin bahawa semuanya di bawah pengawasan dan lindungan Allah.

4. Islam adalah agama yang paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya. Jangan biarkan agama ini dihina oleh siapapun juga. Islam mesti memimpin dan umat Islam tidak perlu cemas terhadap berkuasanya orang-orang kafir kerana kebatilan akan hancur dan kebenaran tetap abadi.

5. Umat Islam mesti peka dan berusaha menyekat pemikiran asing yang merosakkan aqidah yang menjelma dalam pelbagai bentuk yang mengelirukan umat antaranya fahaman pluralism, liberalism, gerakan evangelism dan sebagainya.

 

Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Jalalain

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
13 Ramadhan 1438 / 8 Jun 2017