Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 26 Jul: Rancangan Personaliti terbitan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) mula mewarnai pentas maya pada 7 Jun lalu.
Program bual bicara secara langsung dari Studio UPKN ini bersiaran setiap Isnin, pukul 11.00 hingga 12.00 tengah hari.
Penerbit yang juga Moderator, R. Hareetaran berkata, rancangan Personaliti disiarkan khusus untuk menonjolkan ikon atau tokoh masyarakat dalam Negeri kelantan yang aktif dan mahir dalam bidang tertentu khususnya anak Kelantan dari pelbagai bangsa.
“Menariknya, episod ketiga berjudul Pencinta Haiwan yang ke udara pada 21 Jun lalu menampilkan Sukarelawan Kebajikan Haiwan, Wan Farah Wan Hamidi berjaya meraih 1.8 ribu tontonan secara kumulatif.
Ini membuktikan rancangan terbitan UPKN sudah digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya golongan muda”, katanya.
Episod ke tujuh hari ini pula memaparkan tajuk Kebudayaan Cina Kelantan yang menampilkan Setiausaha Persatuan Sejarah dan Kebudayaan Cina Kelantan, Ang Wui Chong yang memperkatakan penglibatan beliau dalam penulisan lirik dan pembikinan album bercirikan kebudayaan Kelantan.
“Kompilasi 10 lagu tidak lagi dimuatkan dalam CD (cakera padat) seperti dulu. Kita gunakan Kod QR (quick response code) dan diimbas ke aplikasi khas untuk dengar muzik”, kata Ang Wui yang turut berterima kasih kepada Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) yang diketuai oleh Lim Guan Seng kerana memberi perhatian serius terhadap kebajikan dan kemajuan masyarakat Cina Kelantan.