Home Berita PAS Kedah

ADUN Kupang bantu tujuh beranak perbaiki rumah

114
SHARE

Oleh MOHD SABRI ABU BAKAR

KUPANG – Dua bilik tanpa bumbung manakala semua bahagian lain mengalami kebocoran

Itulah sebuah rumah didiami tujuh sekeluarga dari Kampung Charok Sikin di sini sejak sebulan lalu.

Nor Haiziriyah Mat Hassan, 38, berkata, rumah berkenaan berkenaan dihuninya bersama emak, suami, dan empat anak berusia dua hingga 14 tahun.

Menurutnya, dia dan suami tidak mampu menggantikan bumbung baru pada dua bahagian dan memperbaiki keseluruhan bumbung yang tiris kerana kekangan kewangan.

“Bumbung bilik tengah dan bilik belakang tu dah tercabut masa hujan lebat sebulan yang lepas. Bahagian lain dari ruang tamu sampai dapur semuanya bocor.

“Kami nak ganti tak mampu, jadi disebabkan tu, mak yang tidur bilik tengah terpaksa tinggal sementara di rumah ahli keluarga lain yang tinggal berdekatan,” katanya.

Katanya, suami, Zamri Abu Bakar, 38, yang bekerja sebagai pemandu lori tiada pendapatan tetap.

“Ada ‘trip’ adalah pendapatan. Tapi dengan keadaan negara yang masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seminggu pun susah nak ada trip.

“Saya pula hanya suri rumah. Kami tak mampu nak baiki bumbung rumah sejak sebulan lepas,” katanya.

Katanya, kayu-kayu atap juga semuanya reput dimakan anai-anai.

“Setiap kali hujan lebat, mesti ada bumbung tercabut. Dah hampir dua tahun keadaan ini. Kalau tercabut suami akan ganti lain.

“Tapi sejak pendapatan tak berapa nak ada ni, suami dah tak mampu nak baiki,” katanya yang memberitahu keadaan semakin buruk apabila musim hujan.

Masalah keluarga itu segera diberikan perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigadier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad sebaik menerima laporan.

Najmi berkata, pihaknya telah meluluskan sejumlah peruntukan untuk memperbaiki keadaan rumah tersebut secepat mungkin.

“Memang perlu dibantu, rumah ini sangat-sangat tidak sesuai didiami. Tindakan pantas akan diambil segera bagi memperbaiki semua kerosakan bumbung,” katanya.

Terdahulu Najmi bersama kakitangan Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Charok Salang, Zulkifli Ramli menziarahi keluarga berkenaan.

Untuk bantuan boleh disalurkan kepada keluarga ini di nombor akaun Bank Simpanan Nasional 0212641000124405.