Oleh : Azhar Yusof
HULU TERENGGANU, 14 Julai – Kekurangan diri tidak menjadi penghalang buat Che Mat Jusoh, 59, mencari rezeki selepas mengalami kemalangan pada 1982 yang menyebabkan beliau patah peha kiri.
Status orang kelainan upaya (OKU) yang kini bergantung harap dengan seekor beruk jantan miliknya untuk membantu menyara keluarga.
‘Boteq’ membantu Pok Mat sejak beli sembilan tahun lalu, bantu memetik kelapa, selain seekor lagi yang diberi nama ‘Putih’.
Che Mat berkata, kehebatan ‘Boteq’ memetik kira-kira 500 hingga 700 biji kelapa setiap kali bekerja telah banyak membantu pemilik beruk jantan itu sehingga mampu menyara keluarga dan membesar empat anaknya.
Katanya lagi, beruk berusia sekitar enam tahun itu akan dibawa memetik kelapa milik penduduk kampung di sekitar Hulu Terengganu.
“Kebiasaannya saya mengambil kadar upah 50 sen sebiji dan ada juga penduduk menjual buah kelapa itu kepada saya berdasarkan harga di atas pokok kemudian saya jual sendiri dipasar atau kepada penduduk kampung.
“Saya jual kelapa dengan harga RM2.00 sebiji berbanding RM 2.50 harga pasaran biasa dan pendapatan sebulan saya mampu memperoleh RM700 ke RM800,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Sungai Mali , di sini hari ini.
Tambah Pok Mat, beruk ini secara tidak langsung menjadi sumber pendapatan utama untuk membesarkan empat orang anak.
“Bagi memastikan beruk sentiasa sihat dan cergas, saya memberi makan nasi, air milo serta air sarsi yang dicampurkan dengan telur mentah.
“Selain memetik kelapa, kedua beruk juga diajar mampu melakukan perkara sama pada pelbagai pokok berbuah seperti jering, petai, durian, dan rambutan,” katanya yang juga mendapat bantuan bulanan RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ditanya mengenai komunikasi antara beliau dengan Boteq semasa proses memetik kelapa, Che Mat berkata mereka menggunakan bahasa khas untuk memberi dan menerima arahan.
“Hanya pemilik dan beruk itu sahaja memahami bahasa mereka ketika berkomunikasi dan sesiapa yang mendengarnya pasti tersenyum.
“Boteq faham arahan saya seperti naik pokok, ambil buah itu, (bezakan) kelapa muda dan tua, berhenti, ambil lagi, habis serta turun.
“Sebelum ini, tanpa bantuan beruk tersebut, adalah sukar untuk memetik buah kelapa kerana ketinggian pokok yang mencecah lebih 50 meter yang tidak mungkin mampu dipanjat oleh sesiapa pun,“ujarnya.
Pok Mat juga berkata, harga seekor beruk yang terlatih di kampung kini melambung tinggi sehingga melebihi RM1,500 seekor kerana sukar diperoleh.