13 Julai 1990 (JUMAAT)
PADA 13 Julai 1990, DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Shah, berkenan berangkat mencemar duli merasmikan Masjid Negeri Al-Azim di Bukit Palah, Melaka.
Baginda turut menunaikan sembahyang Jumaat bersama lebih 10,000 masyarakat setempat yang turut hadir menyaksikan majlis bersejarah itu.
Pembinaan masjid ini dimulakan pada 14 Mac 1984 dan siap sepenuhnya pada 12 Januari 1990. Masjid ini mampu menampung jemaah seramai 10,400 orang.
Gaya seni bina Masjid Al-Azim ini disediakan oleh sebuah Jawatankuasa Rekabentuk yang mengambil kira aspek keunikan seni bina tradisi Melayu dan seni ukir Islam.
Setiap hujung tulang bumbung masjid ini terdapat sulurbayung yang melambangkan satu ciri istimewa terhadap keindahan senibina Melayu.
Ilham terciptanya sulurbayung ini diambil dari sejenis tumbuhan liar di tepi sungai yang menggambarkan genggaman tangan semasa bertahhiyat.
Masjid yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya Dewan Syarahan, Perpustakaan dan Dewan Kuliah, dapat memberi keselesaan kepada para jemaahnya.
Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia
|