Oleh IBNU JANIE
BARU-BARU ini seorang sahabat penulis menghantar satu video yang memaparkan seorang anak muda yang marah dengan kerajaan dan mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar meletak jawatan kerana gagal menguruskan Covid-19.
Pemuda itu yang mendakwa dirinya bekas pelajar Sains Politik juga berkata bahawa bantuan prihatin bukan bantuan tapi nak sedapkan hati rakyat. Katanya semua negara sudah tiada masalah Covid-19, hanya Malaysia sahaja masih bermasalah.
Baiklah, memang kita boleh saja kata kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pandai menguruskan bencana Covid-19 ini. Hakikatnya dalam banyak hal kita sebenarnya tidak tahu sejauh mana kerja keras kerajaan dan kesusahan yang mereka hadapi sekarang.
Umpama kita melihat perlawanan bola sepak dan pemain pasukan yang kita sokong itu tendangannya gagal memasuki gawang. Kita akan marah dan mula memberi komen sepatutnya pemain itu buat begini atau begitu.
Kita tidak tahu bagaimana sukarnya pemain itu mahu menjaringkan gol tersebut. Dia buat dengan perbuatan. Kita bercakap dengan air liur. Memang mudah sahaja untuk kita komen.
Jika kita ingat lagi semasa pemerintahan BN sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dahulu bagaimana PH berjaya meletakkan imej menteri-menteri BN sebagai ‘menteri bodoh’. Ketika itu apa sahaja yang menteri buat semuanya jadi bahan ketawa.
Pada masa itu semua orang membayangkan betapa hebatnya Malaysia jika dipimpin oleh pemimpin-pemimpin PH yang ‘cerdik’ ini. Namun seperti yang kita semua telah lalui selama 22 bulan pemerintahan PH, situasi sebenar rupanya tak lebih daripada ‘kata dulang paku serpih, mengata orang PH yang lebih’.
Pemimpin PH perjuangkan isu gaji rakyat masa itu sehingga ada yang kata ‘menteri gaji berpuluh ribu ringgit, tak apalah, cuba suruh menteri hidup dengan gaji RM1 ribu sebulan boleh atau tidak? Ingat lagi tak?
Tapi selepas PH memerintah berjayakah mereka samakan gaji rakyat marhaen dengan gaji menteri? Nak tetapkan gaji minimum RM1500 pun mereka gagal. Hakikatnya sudah tentu perkara ini satu lumrah kehidupan ada gaji besar dan ada gaji kecil.
Bila tidak jadi kerajaan memang boleh sembang. Realitinya, tidak ada satu kerajaan yang paling bijak pun dalam dunia ini boleh menjadikan gaji semua rakyat marhaen sama dengan gaji menteri. Tapi bila dijadikan ceramah politik bunyinya memang menusuk jiwa. Boleh nangis!
Tidak ada bencana yang tidak menyusahkan
Sebenarnya semua kita harus faham bahawa memang kita dalam situasi bencana. Tidak ada bencana yang senang, sebab itu ia dipanggil bencana.
Kerajaan boleh memberi bantuan namun bantuan itu tidak mungkin mampu mengembalikan ke keadaan asal seseorang itu. Mungkin sebelum ini kita adalah golongan M40 dengan gaji RM10 ribu sebulan dan mampu berbelanja mewah.
Katalah kita kini hilang pekerjaan. Kerajaan akan membantu. Tapi kerajaan tidak akan boleh memberikan kita bantuan bernilai RM10 ribu sebulan untuk membolehkan kita kekal dengan kehidupan asal kita sehingga kita tetap boleh bermewah dan membeli barangan mewah seperti semasa kita stabil dahulu. Sudah tentu tidak akan berlaku.
Jadi sudah tentu apa sahaja bantuan yang diberi oleh kerajaan akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sesetengah rakyat yang tidak faham.
Kita akui sebenarnya pada masa ini memang ramai rakyat yang sedang dalam kesusahan. Kerana itu rakyat sekarang sudah jadi hipersensitif. Sebab itu banyak yang buat video memaki hamun kerajaan.
Secara analoginya ramai rakyat yang umpama orang yang sedang menderita sakit. Kerajaan umpama mereka yang sedang merawat atau menjaga orang yang sedang sakit. Orang sakit itu lumrahnya akan serba tak kena. Itu biasa.
Walau macam mana bersungguh pun kita cuba merawat dan menjaga mereka pasti banyak juga yang tak kena. Mereka berada dalam keadaan tidak selesa dan sakit di sana sini. Sudah tentu emosi mereka tidak stabil.
Sebab itu kerajaan bagi bantuan pun salah, tak bagi pun salah, bagi kebenaran dine-in pun salah, tak bagi pun salah, ketatkan undang-undang salah, longgarkan undang-undang pun salah. Jadi semua serba salah.
Kerajaan dan aktivis-aktivis parti yang mendukung kerajaan pula sepatutnya tidak ambil hati dan mengambil sikap berkonfrontasi dengan rakyat walau pun kadang-kadang ia sebenarnya hasil kerja dan hasutan pembangkang.
Satu perkara yang kita harus ingat, dalam keadaan yang sangat susah ini rakyat sekarang sudah jadi ‘colour blind’. Mereka tidak kenal lagi siapa parti pembangkang dan siapa parti kerajaan. Pihak mana sekali pun asalkan ia dilihat memihak pada kesusahan mereka, mereka akan sokong.
Kadang-kadang kita memang tahu sesuatu perkara itu hanya satu perkara yang dicetuskan oleh pembangkang untuk memerangkap kerajaan sahaja. Tetapi rakyat yang majoritinya tidak tahu soal sepak terajang politik melihatnya sebagai satu yang baik untuk mereka.
Apabila kita mengecam perkara itu kita akan dilihat umpama ‘mengisytihar perang’ kepada rakyat pula. Itu yang kita kena berhati-hati. Hakikat bahawa majoriti pengundi sebenarnya adalah pengundi atas pagar walau pun mereka adalah ahli kepada parti-parti politik.
Aktivis parti kerajaan tidak boleh tersalah langkah dalam suasana yang sangat kritikal dan hipersensitif ini, takut-takut ia akan merugikan PN. Yang penting kerajaan harus terus membuktikan kepada rakyat kesungguhan kerajaan menyelesaikan masalah ini.
Jadikan sirah Rasulullah SAW yang tetap membantu seorang wanita tua Yahudi yang memaki diri Baginda dalam keadaan orang tua itu tidak tahu yang membantunya itu sebenarnya Rasulullah SAW sendiri.
Aktivis-aktivis parti kerajaan kena bersabar dan teruskan buat kerja. Hebatkan hebahan tentang pakej bantuan PEMULIH yang diumum PM baru-baru ini. Tebalkan telinga, serahkan segalanya kepada Allah swt. Yang penting kita harus menjalankan amanah yang sedang dipegang. Selebihnya kita berserah kepada ‘tuhan kerajaan Malaysia’.
Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Editor Berita PAS Jabatan Penerangan PAS Pusat.
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 9 Julai 2021
|