KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat
18 ZULKAEDAH 1442 l 29 JUN 2021
SEDIA GANDING BAHU TANGANI ISU KESIHATAN MENTAL
1. Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh langkah-langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat yang semakin kritikal berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Satu keperluan mendesak penglibatan semua kementerian dan agensi yang berkaitan dalam menangani isu ini selain langkah-langkah intervensi sosial diperkemaskan dari semasa ke semasa.
2. Usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang telah mewujudkan Dasar Kaunseling Negara dalam mengekang isu kesihatan mental dengan memperkukuhkan perkhidmatan kaunseling merupakan satu langkah yang tepat. Apatah lagi, perkhidmatan Talian Kasih yang beroperasi 24 jam juga mendapat respon positif daripada masyarakat.
3. Pada masa yang sama, tindakan KPWKM yang akan memperluaskan jaringan kerjasama dengan semua pihak termasuk guru bersara dan kaunselor sekolah melalui khidmat nasihat dalam membantu masyarakat yang mengalami tekanan dan kemurungan disebabkan pandemik merupakan satu inisiatif yang terbaik.
4. Selain itu, kerjasama antara KPWKM dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan majlis agama setiap negeri sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff merupakan satu usaha yang tepat dalam memastikan masyarakat yang mengalami tekanan juga dirawat mengikut landasan agama.
5. Setiap masalah yang melanda, pasti akan ada jalan penyelesaiannya. Isu tekanan jiwa dan kemurungan dalam kalangan masyarakat juga tidak terkecuali, seperti mana Allah SWT berfirman dalam surah al-Syarh:
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً ، إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً
Yang bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” (Surah al-Syarh: 5-6)
Sehubungan itu, selain usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan agensi berkaitan dalam menangani isu ini, ibu bapa, adik-beradik dan sahabat handai yang terdekat juga perlu sentiasa memberi dorongan dan sokongan bagi mengurangkan tekanan dalam jiwa mereka yang boleh terjerumus kepada bunuh diri. Islam juga mengajak kita sesama umat Islam untuk membantu saudara seakidah dengan kita yang dalam kesusahan.
6. Insya Allah DUPP akan bersama-sama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui agensi-agensi yang ada akan meningkatkan lagi usaha bagi membantu menangani isu tekanan mental rakyat yang semakin parah.
7. DUPP juga akan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak dengan kadar segera bagi meningkatkan usaha mengurangkan kejadian bunuh diri akibat tekanan mental dengan cabaran mendesak. Insya Allah hari ini, saya akan memulakan beberapa langkah awal untuk kerjasama antara agensi berkaitan.
Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan
YB USTAZ MOHD NOR BIN HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat