POKOK SENA – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semakin menampakkan hasil memberangsangkan apabila berjaya mencapai 60 peratus pendaftaran di negeri ini.
Pemimpin kerajaan dan pembangkang dilihat bersungguh menggerakkan penduduk untuk mendapatkan vaksin tersebut sebagaimana inisiatif di DUN Bukit Pinang dan DUN Derga, di sini.
Jawatankuasa Masjid Qhairul Jame’ Al-Maarif Tualang antara penggerak kempen ini dan hasilnya seramai 325 individu penduduk memberi persetujuan untuk menjadi penerima vaksin tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tualang, Jailani Muhammad, pendaftaran tersebut menunjukkan kesediaan penduduk untuk bersama mengekang COVID-19.
Pun demikian diakuinya antara kekangan yang menyebabkan pendaftaran tidak berlaku dengan berkesan adalah disebabkan capaian internet di kawasan tersebut selain faktor peranti.
Difahamkan, pihak masjid turut menawarkan kesediaan menjadi lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi kemudahan penduduk setempat berikutan masalah kenderaan.
Inisiatif ini turut mendapat perhatian ADUN Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim yang memberikan sumbangan kewangan bagi pihak masjid merancakkan lagi inisiatif digerakkan mereka itu.
Sementara itu, program ‘Jom Daftar Vaksin’ telah digerakkan bersama ADUN Derga, Tan Kok Yew bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar di Dewan Taman Nuri, di sini semalam.
Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan proses pendaftaran vaksinasi kepada komuniti setempat yang digerakkan parti-parti komponen Pakatan Harapan Kedah sejak 23 Jun lalu.
“Kepada semua masyarakat terutama di Parlimen Pokok Sena dan DUN Kedah khususnya, silalah mendaftar untuk mendapatkan vaksin,” seru Tan.