Oleh NORZANA RAZALY
PASIR MAS, 23 Jun: Penduduk Kampung Beta, Pohon Buloh bekerjasama memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan menjalankan aktiviti perniagaan cendawan tiram yang subur ditanam di rumah cendawan pintar binaan mereka sendiri.
Penghulu Mukim Alor Buloh, Afendi Mat Nawi, 54, berkata masyarakat setempat dalam kalangan B40, pelajar pondok, belia, armalah dan asnaf bersepakat membina rumah cendawan pintar yang lengkap berfungsi secara automatik untuk mengawal suhu, kelembapan dan cahaya.
“Saya bersyukur warga mukim ini bersatu-padu menubuhkan Kelab Komuniti Tani-ternak Pasir Mas (KITABINA) dan alhamdulillah, permuafakatan ini menghasilkan kejayaan dengan terbinanya rumah cendawan pintar pada awal Mac lalu.
“Saya difahamkan, kecanggihan sistem gabungan kipas pengudaraan, pad penyejuk dan kabus pelembap di rumah cendawan pintar ini dapat diselaraskan secara automatik pada tahap terbaik untuk memastikan perjalanan miselium (benih cendawan) dan tumbesaran maksimum cendawan dapat berlaku sepanjang tahun terutamanya pada musim kemarau”, kata Afendi yang juga penaung KITABINA.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas kunjungan awal Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Fadhli Shaari pada 28 April lalu ke projek inovasi komuniti tani alamiah perintis yang seumpamanya di Kelantan.
Sekali gus, KITABINA menjadi model agroniaga bersepadu berslogankan Bertani Satu Ibadah dalam kalangan masyarakat desa berasaskan teknologi terkini.