Home Berita PAS Johor

Tinta : Segera ukhuwah fillah melayu islam

87
SHARE

 

Segerakan Ukhuwah Fillah Melayu Islam

Oleh : AHMAD NAWFAL MAHFODZ

Sesuatu bangsa akan mulia kerana Islam. Hatta bangsa Arab itu sendiri menjadi mulia (dimuliakan) bukan kerana mereka hebat pada ‘bangsa’nya, tetapi kerana Islam. Sejarah menceritakan bagaimana bangsa mereka terdahulu menanam anak hidup-hidup, melampau meminum arak, memperhamba dan bermacam perihal berlaku sebelum kedatangan Islam. Malah tidak keterlaluan kalau disebut “barangkali sebab itulah Nabi diturunkan di tempat mereka”.

Beruntung Melayu Nusantara menerima Islam antara lain datangnya Arab Islam menyampaikan dakwah Islam sambil berdagang. Mereka yang mulia dengan Islam ini menyampaikan Islam dengan kesungguhan meneruskan mata rantai perjuangan dakwah Nabi Muhammad s.a.w. sehingga Raja-Raja Melayu terus gagah memimpin ummat Melayu dengan disulami keperibadian jati diri yang penuh beradab sopan dalam ketegasan, dengan Islam.

Inilah Payung Negara. Melayu terus terpelihara di bumi Malaysia ini adalah hasil ketegasan Raja-Raja Melayu yang mulia mempertahan agama ummatnya dengan Islam. Iya, tidak ada lagi insan maksum di bumi ini. Sebab itulah kedudukan baginda Raja adalah “Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda” bukan semata untuk dimuliakan, tetapi kata-kata tersebut sendiri meletakkan baginda Raja adalah penerus kemuliaan Islam untuk bangsanya (dan negara).

Hari ini kecoh pihak-pihak berkepentingan meletakkan seolah Institusi Raja dan Istana sedang berpihak kepada mereka. Sebagai badan termulia dan dimuliakan, tidak ada sesiapa berhak menyatakan seolah “Raja bersama kami”, tapi yang lebih tepatnya adalah “kami bersama Raja”. Baginda Tuanku telah bertitah, begitu juga Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja turut menyatakan hasrat pendirian. Ia adalah urusan antara Istana dan Pemerintah (Kerajaan) untuk melaksanakan. “Kita bersama Raja”.

Teringat kisah biasa kehidupan keluarga bahagia (sekadar analogi). Si ayah gigih mengambil anak-anak bertiga dari asrama di tiga daerah berasingan. Along di sekolah asrama tertua dalam negeri, Angah di sekolah Tahfiz unggul dalam negeri, Acik pula di sekolah berasrama penuh terkemuka. Setiba di rumah, ayah berpesan kepada mereka “segerakan solat”. Maka masing-masing sibuk bertelagah menyuruh sesama mereka. Masing-masing berusaha membuktikan merekalah konon paling patuh arahan ayahanda mereka.

Along: Angah.. cepat solat! Along bagi 14 minit je..!
Angah: Acik.. cepat solat! Angah bagi awak wudhu dulu..
Acik: Along.. solat la dulu! Along kan abang..

Hakikatnya pertelingkahan hanya sia-sia. Si ayah malah menitipkan banyak lagi isi penting termasuk dan terutama “Solatlah berjemaah” telah diabaikan. Saat inilah bahaya jika ukhuwah tidak diurus dengan baik. Jiran datang menjengah di luar pagar membisik konon ada ruang lain untuk bersolat bersama si jiran. Walhal rumah si jiran dipenuhi kepelbagaian tanpa ikhtilat. Si jiran pula rapat dengan si abang menawar diri menjadi imam saat si abang berasa adik-adik yang lain cuba merebut sejadah imam keluarga.

Jiran tidak tentu akhlaknya berbanding keluarga sendiri! Keluarga bahagia boleh berkecai hanya dengan bisikan palsu!

Point saya; kita ini sesama Islam bukan hanya ‘bagaikan’ keluarga, kita ini ‘memang’ saudara seislam, seaqidah. Berbincanglah, berdamailah. Ini belum lagi bincang siapa layak dan dibolehkan jadi imam solat. Jika tidak berbincang dengan baik, menolak perdamaian dengan emosi dan sentimen, malah lari kepada jiran tidak semenggah, alamat keluarga ini akan rosak! Malah tetanggga sekampung merasa akibat tempiasnya. Jangan lupa kisah jiran yang menghina memperlekeh ayahanda kita!

Nasib baik kita ada Institusi Ibubapa yang amat bertanggungjawab. Tidak ada sesiapa berhak berkata “Ayah bersama saya”, tapi yang betulnya; Ibubapa sentiasa kasih dan sayang kepada semua anak-anaknya. “Kita (anak-anak) sentiasa bersama Ibu dan Ayah!”

Psss.. jiran yang menghasut tu pon bersidang Ogos paling awal.. ingat.. Jangan Terpedaya!

Pejuang Islam!
Pengamal Rukun Negara!

Penulis ialah Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Johor dan Ketua Pemuda Perikatan Nasional Negeri Johor

#MenangBersama