Home Berita PAS Terengganu

JPKK hantar barangan dapur ke rumah keluarga dikuarantin

87
SHARE

Oleh : Muhammad Afiq Akmal Mohd Zohir @trdi.my

BESUT, 23 Jun – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mengambil inisiatif menghantar barangan keperluan harian kepada 16 keluarga yang menjalani kuarantin di rumah di RAKR Lak Lo, Jerteh sejak 16 Jun lalu.

Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, usaha itu bagi memastikan setiap keluarga tidak kehabisan bekalan makanan selepas mereka dilarang keluar susulan arahan kuarantin.

Katanya, kesemua keluarga itu sudah menjalani saringan dan disahkan negatif, namun masih perlu menjalani kuarantin dan perkara tersebut membataskan pergerakan mereka.

“Jika ada di kalangan jiran atau ahli keluarga yang sedang dikuarantin sila maklumkan kepada JPKK masing-masing atau terus ke Pusat Khidmat DUN Jerteh.

“Kita akan usahakan segala bantuan yang ada supaya yang terjejas tidak bertambah teruk, kita mahu pastikan semua dapat bekalan yang secukupnya,” katanya selepas mengagihkan barangan ke rumah keluarga terlibat semalam.

Ustaz Wan Azhar menyantuni seorang penerima bantuan
Turut hadir Pengerusi JPKK Padang Landak, Asri Ismail bersama Ahli Jawatankuasanya.

Kata Ustaz Wan Azhar, orang ramai yang dibebani masalah tidak perlu bimbang dan takut untuk menghubungi pihak berautoriti.

“Kita akan agihkan bantuan dengan maklumat yang buat setakat ini. Maklumat dari Pejabat Kesihatan adalah sulit dan menyalahi etika mereka jika dibawa keluar, justeru orang ramai sila lapor kepada pihak kami jika perlukan sebarang bantuan.

“Terima kasih Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Kesihatan Daerah Besut yang sentiasa memantau keluarga yang terlibat, dan seluruh petugas dari JPKK yang sentiasa bersedia membantu,” ulas beliau.