Home Berita PAS Kedah

Kedah bakal wujud lebih banyak peluang pekerjaan

242
SHARE

ALOR SETAR – Kebajikan terbesar dilakukan kerajaan ke atas rakyat adalah mewujudkan peluang pekerjaan, demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBi) Kedah, Muhamad Sobri Osman.

Menurutnya, kebanyakan orang ramai melihat kebajikan lebih kepada aktiviti memberi beras atau bekalan makanan untuk rakyat yang terputus bekalan makanan atau kena musibah bencana alam atau kemalangan seperti kebakaran.

Katanya, peluang pekerjaan ini terhasil dari usaha menarik masuk pelaburan di mana impaknya selain menaikkan ekonomi ia juga boleh membolehkan seseorang merencana kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.

Terang beliau, pelabur dalam membuat keputusan atau pilihan ke sesuatu tempat sangat dipengaruhi oleh prasarana paling selesa dan kondusif serta sumber semulajadi bagi keperluan operasi bakal dijalankan syarikat.

“Keyakinan ini timbul kerana Kedah mempunyai infrastruktur lengkap seperti tanah yang tersedia, tenaga elektrik yang stabil dan bekalan air mencukupi, jalan yang baik dan port yang berdekatan.

“Selain tenaga mahir yang cukup, pegawai dan kerajaan yang mesra pelabur selain dari politik stabil,” ujar beliau yang merupakan bekas Presiden Kulim Technology Park Corporation (KTPC).

Beliau juga mengakui pelabur turut memerlukan lapangan terbang dan pelabuhan di mana negeri ini bakal mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Pelabuhan Persekutuan di perairan Yan.

“Tetapi paling penting, pandangan pelabur pun tengok kestabilan politik di satu-satu tempat, sebab itu depa (mereka) mai (datang) ke Malaysia. Betul, (negara) kita pun ada isu-isu politik, tapi setakat ayaq (air) kocak dalam cawan saja, berbanding (situasi) politik di Thailand, Indonesia dan lain-lain (negara). Sebab negara depa pun ada tempat dan sumber banyak juga.

“Pelabur dia tengok sama negara ni ada pemerintahan beraja. Sultan dan Raja ni jadi tunggak pemerintahan, pergolakan parti politik masih di bawah payung naungan sultan. Di sini kita ada kelebihan. Patutnya, dengan simple majority, kerajaan sekarang tak stabil. Tapi raja-raja kukuhkan kestabilan politik.

“Pelabur punya pandangan lain. Dia tengok, sistem pemerintahan keseluruhan negara, kerana ia menjamin kestabilan politik dan mengurangkan risiko. Tambah pula sekarang satu dunia tengah pandemik (COVID-19),” ujarnya termasuk menyatakan kepentingan pelabur sedia ada.

Jelas beliau, pelabur sedia ada ini seperti duta yang memberi penjelasan mengenai sesuatu tempat dan sebab itu penting untuk menjaga mereka ini dalam usaha mendapatkan kemasukan pelabur baharu yang lain.

Jelasnya lagi, kemampuan kerajaan atau pihak berkuasa bertanggungjawab dalam memberi perkhidmatan turut menjadi faktor kemasukan pelaburan baharu, manakala pelabur sedia ada akan menambah atau pembesaran operasi.

Pelabur juga terang beliau, sangat memerlukan keputusan segera dari kerajaan atau pihak berkuasa supaya urusan pelaburan mereka menjadikan ‘speed and how fast’ yang sangat penting.

Berdasarkan pengalamannya terlibat dalam sektor pelaburan sejak zaman bekas Menteri Besar, Almarhum Tan Sri Dato’ Seri Diraja Azizan Abdul Razak, beliau melontarkan pandangan khusus mengenai Kedah.

Menurut Muhamad Sobri, Kedah adalah negeri yang kaya dengan sumber semulajadi, tetapi miskin dari dan hasil pendapatan dan simpanan di mana pendapatan negeri hanya sekitar RM500 juta hingga RM600 juta.

Kupas beliau, perolehan daripada hutan, perlombongan dan pertanian juga kurang kerana negeri ini sendiri tidak menjana industri hiliran dari sumber semulajadi sedia ada.

Terang beliau, untuk meninggikan hasil, Keda perlu menyediakan keperluan untuk sumber semulajadi itu diproses sendiri di dalam negeri ini dengan meningkatkan produktiviti berbanding membawa sumber mentah keluar.

Beliau memberi contoh perlombongan silika memberi hasil sedikit dari sumber mentah itu, tetapi mendatangkan lebih banyak pendapatan apabila industri pemprosesannya seperti menghasilkan solar diadakan di negeri ini.

“Dulu bawa ke luar (negeri lain), negeri itulah dapat (banyak hasil). Bila ada First Solar buka kilang di sini, dapat income dengan bagi pekerjaan. Kerajaan dapat premium tanah, dapat cukai. Hasil lagi banyak dapat di sini.

“Kita Kedah ni pun banyak sumber hutan. Satu pertiga hutan simpan kita hutan pengeluaran, maknanya boleh balak. Tapi di mana balak kayu kayan ni diproses? Dulu ada 40 hingga 50 kilang kayu kayan kat negeri ni, sekarang saya kira kurang dari 10.

“Banyak (kilang balak dan kayu kayan) di Pulau Pinang lagi. Jadi Pulau Pinang untung,” jelas beliau