(Admin) Sumbangan RM50 Ribu daripada Kumpulan Malvest & YAKIN Kepada Kerajaan Negeri Kelantan Dalam Usaha Memerangi Pandemik Covid-19.
Kumpulan Malvest & Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) melalui syarikat usahasama iaitu Kelmedic Sdn Bhd yang merupakan pemaju Troika Kota Bharu hari ini menyumbang RM50,000.00 kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk disalurkan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Timbalan Pengerusi Kelmedic Sdn Bhd YABrs Tuan Haji Azi Rahimee yang juga merupakan Pengarah YAKIN menyerahkan cek sumbangan RM50,000.00 kepada YAB Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato’ Haji Ahmad Yakob di Pejabat Menteri Besar.
Menteri Besar menyambut baik penglibatan pihak swasta dan agensi kerajaan seperti Kumpulan Malvest dan Yakin untuk bersama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mengatasi cabaran Covid-19. Beliau berharap syarikat-syarikat swasta turut memainkan peranan dalam pelbagai aspek seperti mematuhi SOP, menggalakkan pekerja menerima vaksin serta melaksanakan program CSR untuk membantu masyarakat Kelantan.
Tuan Haji Azi Rahimee ketika ditemubual berkata YAKIN bersama dengan Kumpulan Malvest memahami kepentingan pihak swasta untuk turut membantu dalam suasana yang mencabar ini. “Kami berharap vaksinasi Covid-19 khususnya di Kelantan dapat dijalankan dengan kadar yang lebih cepat supaya aktviti ekonomi dan sosial dapat pulih seperti biasa”.
Menurut Pengerusi Kumpulan Malvest Dato’ Haji Mohd Tajri Bin Haji Abu Yamin, beberapa usaha sedang dirancang di bawah program CSR Malvest2U untuk membantu memerangi pandemik Covid-19. Baru-baru ini, 30,000 pelitup muka premium keluaran Malvest telah disumbang kepada Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi untuk diedarkan kepada Pusat-pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kelantan.