Home Berita PAS Kelantan

KOKULAC, UITM bekerjasama bina Hub Iindustri Cendawan di Kelantan

388
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
PASIR PUTEH, 18 Jun: Koperasi Usahawan Cendawan Kelantan Berhad (KOKULAC) menandatangani perjanjian persefahaman dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang untuk bekerjasama membuat penyelidikan dan pembangunan dalam pelbagai bidang berkenaan industri cendawan.
Perjanjian tersebut dimeterai secara maya oleh Pengerusi KOKULAC, Hasmi Hassan bersama Rector UiTM Cawangan Pulau Pinang, Professor Ts Dr Salmiah Kasolang baru-baru ini.
Hasmi berkata matlamat utama kerjasama tersebut untuk mewujudkan Kompleks Cendawan KOKULAC sebagai hub industri cendawan dan mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh pengusaha industri tersebut termasuklah penanam, pemborong, pemain industri huluan dan hiliran.
“UiTM Pulau Pinang dan KOKULAC sudah menyiapkan rumah cendawan pintar yang dapat mengawal suhu, kelembapan, cahaya dan tahap oksigen di Kampung Chengal, Ketereh.
Manakala, penyelidikan dan pembangunan substrat alternatif sebagai pengganti habuk kayu getah dan dedak padi sedang aktif dijalankan termasuklah pengumpulan benih-benih cendawan yang sesuai ditanam di dalam rumah cendawan pintar, baja tambahan untuk meningkatkan hasil dan mengurangkan penyakit cendawan”, katanya ketika dihubungi.
Beliau turut memaklumkan sistem pengeringan cendawan, teknik dan resipi baharu untuk membuat produk-produk hiliran cendawan serta proses kitar semula sisa cendawan untuk dijadikan pelet makanan ternakan juga sedang dinaiktarafkan.
KOKULAC berharap pihak Kerajaan Negeri dan agensi dapat menyokong usaha yang sedang dilaksanakan supaya impak positifnya dapat dimanfaatkan oleh anggota-anggota KOKULAC, pengusaha projek penanaman cendawan di Pondok Seligi, Pasir Puteh dan Kelab Komuniti Tani-ternak Pasir Mas (KITABINA).
Sekali gus, membuka peluang perniagaan kepada usahanita Kelantan menghasilkan produk-produk hiliran berasaskan cendawan.