Home Berita PAS Kelantan

Pelajar minta segera tingkatkan kelajuan internet di kampung

170
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
JELI, 15 Jun: Nur Adibah Mazlan, 18, pelajar terbaik Maahad As-Sabirin, Ayer Lanas, bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mengakui cabaran paling getir ialah berhadapan masalah rangkaian internet yang kerap terputus ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Anak sulung daripada empat beradik yang memperolehi keputusan 10A tersebut meminta pihak Kerajaan Negeri dan agensi berwajib menyegerakan proses menaiktaraf sistem telekomunikasi di lokaliti desa bagi memudahkan sesi PdPR pelajar yang bersekolah di luar bandar.
Menurut beliau, ketika PdPR sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), ramai pelajar kampung bertumpu di Pusat Internet Komuniti (PIK) bermula pukul 3.00 hingga 6.00 petang.
“Selepas balik sekolah, makan dan solat, saya terus ke PIK sejauh 7km untuk sambung belajar. Dalam masa tiga jam itulah sahaja waktu yang ada untuk saya fokus kepada pelajaran secara atas talian. Tetapi malangnya selalu terganggu oleh talian terputus, terutama waktu hujan”, tulisnya melalui aplikasi WhatsApp.
Kata beliau lagi, pengalaman PdPR di rumah pun mencabar apabila sedang menyertai kelas menggunakan aplikasi Zoom, tiba-tiba ada pelajar terkeluar dengan sendirinya membuatkan emosinya dan kawan-kawan amat terganggu.
Beliau turut berkongsi teknik belajar semasa PKP dengan memberi tumpuan penuh semasa kelas sedang berlangsung, respon segera sekiranya guru bertanya dan siapkan tugasan yang diberi serta perbanyakkan ulangkaji.
“Bergantunglah kepada Allah 100 peratus selepas kita berusaha kerana kejayaan dalam sesuatu perkara bukan sebab kepandaian menghafal nota tetapi Allah yang beri berdasarkan usaha. Amalkan membaca setiap pagi surah al-Kahfi 10 ayat awal dan akhir”, pesannya sebagai tips kepada pelajar yang bakal menduduki SPM tahun hadapan.