Home Berita PAS Kelantan

OKU Kelantan sertai kempen sejuta istighfar

152
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 15 Jun: Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) menyertai Kempen Sejuta Istighfar @ OKU Beristighfar bermula 10 hingga 20 Jun.
Pengerusinya, Mohd Ramli Abd Rahman berkata, MPPOK menyokong inisiatif Sekretariat Sahabat FAQEH Universiti Sains Islam Malaysia (SaF USIM), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), USIM dengan kerjasama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) dengan menyambut baik misi membawa kesedaran masyarakat khususnya penglibatan OKU dalam usaha menjaga hubungan insan dengan tuhan.
“Kita faham COVID-19 itu juga adalah makhluk Allah perlu diimani secara teori dan praktikal. Ia datang dan akan pergi atas perintah Allah. Jadi selama 10 hari tersebut peserta OKU Kelantan yang berdaftar bersedia melafazkan ‘Astaghfirullahal Azim’ dengan niat semoga Allah mengampunkan segala dosa hamba-Nya dan mengangkat wabak pandemik COVID-19 serta mengembalikan tahap kesihatan awam seperti sediakala.
Penyertaan kempen ini juga antara usaha MPPOK menyokong pendekatan Twin-Track oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ke arah mengupaya masyarakat dan memperkasa komuniti OKU”, katanya.
Pakej tersebut didaftarkan melalui Google Form dengan empat pilihan; 30, 50, 70 dan 100 Istighfar yang dibaca setiap selesai solat fardu lima waktu selama 10 hari. Setakat semalam, 1,309,000 istighfar telah direkodkan daripada pendaftaran 485 peserta di seluruh negara.